Saingan Piala Malaysia kembali bersambung selepas sebulan berehat dengan baki dua lagi slot ke suku akhir menjadi buruan.
Pahang, T-Team dan Negeri Sembilan bersaing sengit merebut satu slot dari Kumpulan A manakala Melaka dan Kelantan pula bersaing bagi melengkapkan satu slot dari Kumpulan C.
Pahang, juara 2013 dan 2014 ketika ini di tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata, dihimpit rapat oleh T-Team dan Negeri Sembilan masing-masing mengumpul lima mata.
Aksi terakhir akan menyaksikan Pahang menentang T-Team di Kuantan manakala Negeri Sembilan melayan kunjungan PKNP yang menerajui kumpulan dengan 10 mata di Seremban.
Saingan Kumpulan C pula, Melaka hanya memerlukan keputusan seri menentang Uitm FC untuk mengiringi Kedah ke kelompok lapan terakhir. Pasukan bimbingan Eduardo Almeida itu berada di tangga kedua dengan sembilan mata manakala Kelantan di tangga ketiga dengan enam mata.
Untuk rekod, kali terakhir skuad sang kancil itu layak ke suku akhir Piala Malaysia adalah pada 2007 yang mana mereka tewas dengan aggregat 10-1 kepada Kedah.
Meskipun peluang ketika ini terbuka luas untuk mereka menamatkan penantian itu, Almeida tidak mahu pemainnya terlalu yakin sebaliknya fokus melaksanakan misi meraih tiga mata.
“Walaupun kami dianggap pilihan, tetapi perlawanan ini tidak boleh dipandang mudah. Uitm sudah terkeluar dari persaingan ke suku akhir, jadi mereka akan turun tanpa tekanan. Bermain tanpa tekanan sudah tentunya satu kelebihan buat mereka, menang atau kalah mereka tidak rugi apa-apa tetapi sudah tentunya mereka tidak mahu akhiri kempen dengan kekalahan.
“Kami pula tidak boleh tewas, jadi saya percaya pemain tahu tugas mereka dan akan memberi sepenuh komitmen untuk melangkah sejauh mungkin dalam saingan tahun ini,” ujar pengendali berusia 39 tahun itu yang menggantikan Eric Williams pada Jun lalu.
Untuk aksi menentang Uitm di Stadium Uitm Shah Alam malam esok, Melaka berkemungkinan besar turun tanpa penjaring terbanyak mereka dengan sembilan gol, Marko Simic yang baru sahaja pulih dari kecederaan dan belum cergas sepenuhnya.
Sementara itu, Perak dan Felda United yang sudahpun mara dari Kumpulan B akan berentap sesama sendiri di Ipoh bagi menentukan juara kumpulan manakala Kuala Lumpur dan PKNS FC pula melengkapkan jadual saingan di Stadium Hang Jebat.
Cerita sama di Larkin apabila Johor Darul Takzim melayan kunjungan Selangor dalam aksi yang akan menentukan juara Kumpulan D – kedua-dua pasukan ketika ini mengumpul 10 mata. Satu lagi perlawanan pelengkap kumpulan antara Terengganu dan Sarawak akan berlangsung di Kuala Terengganu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN