Oleh Muhammad Aiman
Juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) akan kembali beraksi dalam saingan domestik selepas dua minggu pada Sabtu ini apabila melayani kunjungan T-Team di gelanggang sendiri di Larkin.
Setelah mengesahkan kejuaraan liga kekal milik mereka buat musim ketiga berturut-turut susulan kemenangan 3-0 ke atas Terengganu pada 9 September lalu, Harimau Selatan mengalihkan fokus mereka terhadap misi memburu piala keempat mereka musim ini dengan berdepan South China FC dalam saingan suku akhir Piala AFC.
Tatkala halangan South China sudahpun dilepasi hasil kemenangan agregat 3-2, Mario Gomez berpendapat ini masa sesuai untuk pasukannya menarik nafas lega sebelum mereka berdepan Bengaluru FC dari India dalam aksi separuh akhir Piala AFC.
“Kami telah berdepan dua aksi mencabar menentang South China dan kini kembali beraksi dalam saingan Liga Super, saya bercadang untuk memberi rehat yang secukupnya kepada pemain-pemain utama. Mereka amat perlukan rehat setelah dikerah berada pada prestasi terbaik sejak tiga perlawanan lalu.
“Saya yakin pasukan kedua JDT juga mempunyai kekuatan seimbang dan ini masanya mereka buktikan. Walaupun sudah muncul juara dan tiada tekanan, kami tetap anggap perlawanan menentang T-Team sebagai penting, kerana kami mahu menamatkan musim ini tanpa tewas, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri,” kata pengendali dari Jerman itu.
Perlawanan menentang T-Team adalah aksi domestik terakhir musim ini buat JDT di gelanggang sendiri dan sebagai rekod, juara Piala Sumbangsih dan Piala FA itu tidak pernah tewas dalam kesemua 22 perlawanan di Larkin sepanjang tahun ini.
Mereka akan menutup kempen liga dengan menentang Selangor di Shah Alam pada 22 Oktober namun sebelum itu akan berdepan Bengaluru pada 28 September di Larkin sebelum bertandang ke India pada 19 Oktober untuk aksi timbal balik separuh akhir Piala AFC.