Peluang untuk skuad hoki Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi proses rayuan diakui tipis oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.
MHC sebelum ini telah mengemukakan cadangan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF) agar pemenang pingat perak bagi kategori lelaki dan wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 turut mendapat tiket automatik ke Sukan Olimpik.
Asas kepada cadangan MHC ini adalah kerana pingat emas bagi kedua-dua kategori itu dimenangi oleh Jepun yang sememangnya sudah layak ke Olimpik selaku tuan rumah.
Berdasarkan peraturan, hanya juara akan layak secara automatik ke Olimpik dan sebagai rekod, Malaysian Tigers kecundang menerusi penentuan penalti kepada Jepun yang menang emas buat pertama kali manakala dalam kategori wanita pula India tewas kepada Jepun dalam aksi final.
Subahan berkata indikasi awal diterima daripada Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil memperlihatkan ianya sukar untuk mengubah sistem kelayakan Sukan Olimpik yang ditentukan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan bukannya FIH.
“Weil ada membalas surat menyatakan ia tidak dapat dipertimbangkan ketika ini kerana perlu melalui IOC, tapi saya akan ke New Delhi untuk menghadiri Kongres FIH dari 1-3 November depan dan cuba memberi penerangan pada kongres itu dan meyakinkan mereka.
“Secara jujur peluang amat tipis, namun tidak bermakna kami tidak akan terus mencuba. Kami tidak mahu hanya menunggu keputusan tanpa berusaha,” katanya.
Seandainya rayuan ini gagal, Malaysia yang kali terakhir beraksi di Sukan Olimpik pada tahun 2000 perlu mengharungi kempen kelayakan untuk menentukan nasib.
Ianya dijadual bermula pada Pusingan Akhir Siri Hoki dari 23 April hingga 1 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di mana hanya dua pasukan terbaik akan mara ke Pusingan Akhir Kelayakan Olimpik pada penghujung 2019 yang menjadi kejohanan terakhir merebut tempat ke Tokyo 2020. MUHD AIMANÂ