Peminat berbasikal negara ternanti begitu lama sebelum melihat anak kelahiran tempatan, Anuar Manan menjulang kemenangan peringkat dan gelaran Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi 2010.
Selepas itu, mereka terus menunggu lagi sehingga tujuh tahun pula untuk melihat sama ada Anuar atau pelumba lain dapat mengulangi kejayaan membanggakan itu tetapi hampa.
Dan apabila tirai saingan LTdL 2018 dibuka di Kangar Ahad ini, harapan peminat tempatan kembali meruap untuk melihat lahirnya seorang lagi pelumba negara bergelar pemenang.
Malah Anuar yang akan tampil untuk kali ke-12 dalam edisi LTdL 2018 ini bersama pasukan baru, Forca Amskins pada edisi ke-23 LTdL 2018, berkata, tidak mustahil bagi pelumba negara meraih penghormatan besar seperti itu sekali lagi.
“Kita ada ramai pelumba di dalam empat pasukan dan semuanya berbakat besar. Walaupun saya tidak lagi bersama pasukan TSG, mereka masih ada Hariff (Salleh) yang setanding dengan pelumba pasukan profesional Eropah lain. Malah Malaysia kini juga ada ramai pendaki yang berbakat.
“Mungkin ketika berlumba nanti, kami perlu bekerjasama dan mengenakan strategi yang tepat walaupun menyarung jersi pasukan yang berbeza,” kata pelumba berpengalaman berusia 31 tahun kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu.
Selain Anuar, pertaruhan terbaik adalah menerusi Hariff yang beberapa kali meraih podium kedua dan ketiga dalam LTdL sebelum ini.
“Memang sebelum ini Anuar banyak membantu menarik saya ke garisan terakhir tetapi TSG masih ada Zamri (Salleh). Begitupun kami tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.
“Apa yang boleh saya katakan, saya lebih yakin pada LTdL kali ini kerana menjalani latihan dan menyertai beberapa perlumbaan di Australia, selain memenangi beberapa peringkat di Tour of Sharjah.
“Sejak beberapa tahun ini, tahap pelumba tempatan sebenarnya agak setanding dengan pelumba luar negara, cuma mungkin dari segi mencari posisi sebelum pecutan terakhir yang agak kurang,” kata Hariff pada sidang media di Langkawi, hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Loh Sea Keong (Thailand Continental Team) dan pelumba berbakat dari Forca Amskins, Nik Muhammad Azwan Zulkifli.
Berdasarkan penyertaan dalam LTdL kali ini, ada 18 pelumba kelahiran Malaysia yang mewakili empat pasukan berbeza iaitu Hariff, Zamri, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirullah Fakhruddin (TSG); Sea Keong (Thailand Continental Team); Anuar, Nik Mohd Azwan, Amir Mustafa dan Mohd Saufi Mat Senan (Forca Amskins) serta Muhammad Zawawi Azman, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dan Adiq Husainni Othman (Sapura Cycling Team).
Pasukan kebangsaan Malaysia pula dianggotai Muhammad Firdaus Awang, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Azli Najmi Zulkifli dan Muhammad Shaifu Adlan Mohd Shukri.
Begitupun, senarai muktamad pelumba kelahiran Malaysia yang akan bermula di garisan permulaan di Kangar, Ahad ini, hanya akan ditentukan oleh pengurusan pasukan masing-masing menjelang mesyuarat pengurus dan teknikal malam esok.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Le Tour de Langkawi 2018, M Kumaresan berharap akan muncul seorang lagi pemenang peringkat atau jersi pada edisi ke-23 ini.
“Mereka adalah dari kalangan pelumba yang terbaik di negara ini pada masa ini dan mewakili pasukan yang bagus. Kekurangan mungkin hanyalah pendedahan berlumba di pentas tertinggi tetapi saya berharap ada yang akan menyinar dalam LTdL ini,” kata Kumaresan.