kedah.pkns

Oleh Muhammad Aiman

Status selaku pasukan Liga Premier tidak menjadi alasan buat PKNS Selangor mengintai kejutan sensasi dalam saingan Piala FA musim ini apabila mereka melayani kunjungan Perak dalam aksi separuh akhir pertama, malam ini.  

Skuad bimbingan E.Elavarasan menyingkirkan dua pasukan Liga Super, Terengganu dan Felda United sebelum menewaskan Sime Darby dalam laluan mereka ke separuh akhir dan kini bersedia menjadikan Perak mangsa seterusnya dalam usaha menjejak kaki buat kali pertama di pentas final.

Melayani kunjungan The Bos Gaurus di Stadium Selayang, E.Elavarasan dijangka mempertaruhkan sentuhan barisan depan cukup prolifik diketuai Gabriel Guerra yang menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan musim ini untuk mencari bekalan selesa apabila bertandang ke Ipoh bagi aksi timbal balik.

Namun ada perkara yang masih meresahkan Elavarasan, “Kita sedang bekerja keras memperkemas benteng pertahanan khususnya yang dilihat begitu rapuh ketika ini. Kita menjaringkan banyak gol, dalam masa sama melepaskan banyak gol.

“Apatah lagi bertemu Perak, mereka sebuah pasukan dibarisi pemain muda yang rajin dan laju, kita tidak boleh ulangi kesilapan sama. Perak mungkin bergelut dalam Liga Super ketika ini, tetapi mereka tetap ada kelebihan, ada kualiti.” 

Kebimbangan Elavarasan ada asasnya – benteng terakhir PKNS Selangor dilihat menjadi masalah utama musim ini apabila melepaskan 18 gol dalam semua pertandingan, dan 7 gol dalam dua perlawanan terakhir iaitu dalam kekalahan 3-4 kepada Negeri Sembilan dan ketika seri 3-3 menentang Johor Darul Takzim II.

Malah mereka hanya tidak bolos dalam dua perlawanan sahaja bagi musim 2016 memaksa Elavarasan beberapa kali membuat penggiliran di posisi penjaga gol dengan menurunkan Remezey Che Ros, G. Jeevanathan dan Nor Haziq Aris.  

Ketiadaan pemain pertahanan, Nizam Abu Bakar yang menjalani penggantungan perlawanan bermakna Elavarasan akan menyandarkan harapan terhadap gandingan Gonzalo Soto dan S.Thinagaran untuk mengemudi pertahanan dan mengekang barisan serangan Perak yang semakin menunjukkan peningkatan selepas hebat dikritik pada awal musim.

Perak mara ke separuh akhir setelah menyingkirkan Kuala Lumpur dengan agregat 2-0 pada perlawanan suku akhir dan barisan bimbingan Syamsol Saad itu sedar selain mengelakkan kekalahan, mereka juga perlu mendapatkan jaringan gol di tempat lawan jika berhasrat mara ke final yang kali terakhir mereka jejaki pada 2005.

- Advertisement -