PENYANDANG Juara PKS Uniten-KPT dan juara Liga UniKL Ladies menganggap peluang menjulang Piala Vivian May Soars 2021 terbuka luas buat kedua-dua pasukan apabila bertembung dalam kemuncak saingan di Stadium Hoki Nasional esok.
Kedua-dua jurulatih Lailin Abu Hassan (PKS Uniten-KPT) dan Roslan Jamaluddin (UniKL Ladies) berkata selepas mengharungi tujuh perlawanan secara berterusan sejak 15 Mac lepas termasuk lima perlawanan liga dan dua lagi pada separuh akhir Piala Vivian May Soars, kedua-dua skuad kini berada di kemuncak prestasi masing-masing.
Kekalahan di tangan UniKL Ladies dalam saingan Liga juga tidak boleh dijadikan pengukur kemampuan kerana senario saingan final amat berbeza berbanding pertembungan dalam Liga, kata Lailin.
“Saya akui, UniKL Ladies, walaupun merupakan pendatang baru musim ini, nyata mantap secara keseluruhan kerana memiliki barisan pemain muda dan senior yang hebat.
Tapi, keadaan semasa perlawanan Liga dan Piala amat berbeza, kami belajar dari kesilapan dan selain latihan rapi, banyak merancang menerusi sesi video untuk final nanti. Kami sedia memberikan tentangan berbeza,” kata Lailin pada sidang media menjelang final hari ini.
Menurut Lailin, perbezaan dari segi tempo permainan dan peningkatan prestasi pemain dapat dilihat semasa separuh akhir kedua menentang PDRM tempoh hari. “Walaupun ketinggalan, nampak jelas komitmen pemain yang berusaha habis-habisan mengejar dan memastikan kita layak akhirnya,” kata Lailin.
Ketua pasukan RAJA NORSHARINA RAJA SHABUDDIN pula tidak menyorok impian mempertahan piala biarpun sedar UniKL Ladies menjadi halangan menyekat hasrat mereka. “Ada yang menganggap kami pasukan pilihan sebenarnya tidak begitu… dilihat prestasi UniKL Ladies, dua-dua ada peluang.
“Tetapi berdasarkan penilaian prestasi, skuad Uniten memang telah menunjukkan peningkatan, kami akan bermain mengikut acuan kekuatan kami sendiri. Cuma kami perlu tajamkan lagi serangan dan penyudahan di depan gol,” kata Nuraini.
Jurulatih UniKL Ladies ROSLAN JAMALUDDIN berkata impian untuk menjulang Piala Vivian May Soars memang sesuatu yang diimpikan dalam usaha mencipta sejarah tersendiri hoki negara dengan menjadi juara berganda dalam penampilan pertama mereka.
“Sebagai pendatang baru dalam liga dan saingan piala, ini sesuatu yang kami impikan. Tetapi bukan mudah kerana kita menentang juara bertahan Uniten yang nyata berpengalaman dalam suasana final yang berbeza. Kemenangan menumpaskan Uniten dalam Liga sebelum ini bukan ukuran,” kata Roslan.
Tambah menyukarkan keadaan dan merunsingkan Roslan ialah kecederaan ke atas beberapa pemain utama menjelang akhir esok.
“Kita akan tunggu sehingga esok untuk buat penilaian… harapan saya pemain yang cedera dapat pulih segera dan diturunkan esok,” kata beliau.
Ketua pasukan UniKL Ladies NURAINI ABD RASHID senada dengan jurulatih dan menganggap kemenangan ke atas Uniten dalam Liga sebelum ini bukan pengukur kekuatan dan kemenangan.
“Dalam final, aura dan situasi berbeza boleh menentukan nasib pasukan. Yang penting, UniKL Ladies akan bermain berhabis-habisan mengikut kekuatan sendiri dan menggunakan momentum daripada kemenangan lepas pada Sabtu ini,” kata Nuraini yang bertekad memanfaatkan apa jua peluang yang terhidang nanti untuk pastikan trofi kemenangan bertukar tangan kepada UniKL Ladies.