Oleh Muhammad Aiman
Kelantan bertandang ke Stadium Hang Jebat pada Sabtu untuk aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, membawa misi getir memadam kelebihan satu gol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Juara 2012 itu tewas mengejut 1-2 di Kota Bharu dalam aksi pertama dan sedar mereka tiada pilihan selain mencatat kemenangan – setidak-tidaknya dengan beza dua jaringan jika mahu terus kekal dalam misi memburu satu piala bagi mengakhiri musim 2016.
Pemain pertahanan, Qayyum Marjoni Sabil mengakui skuad dengan jolokan The Red Warriors itu berdepan tugas sukar apatah lagi perlu mencari dua gol di gelanggang lawan, dalam masa sama perlu memastikan gawang tidak dibolosi namun percaya rakan sepasukan sudah belajar dari kesilapan ketika perlawanan pertama tempoh hari.
“Penting untuk kita tidak memberi ruang kepada PDRM mendapatkan jaringan, jika tidak sudah tentunya kami akan lebih tertekan untuk mencari tiga gol di tempat lawan. Aksi di Kota Bharu sebelum ini menunjukkan bahawa kami terlalu mudah memberi ruang sehingga PDRM mendapat dua gol awal, jadi kami perlu pastikan kesilapan sama tidak berulang.
“Kami perlu bekerja keras dan tidak boleh hilang tumpuan sepanjang perlawanan bagi menutup segala ruang buat PDRM. Mereka bermain di tempat sendiri, dan berkelebihan agregat, sudah tentunya mereka juga ada strategi mahu mempertahankan kelebihan itu,” ujar pemain yang mula mencipta nama bersama skuad Piala Presiden Kelantan itu.
Dalam aksi pertama pada 28 Ogos lalu, PDRM membawa pulang kemenangan menerusi jaringan minit keempat Safuwan Baharudin dan Guilherme De Paula pada minit ke-22, manakala Kelantan membalas menerusi penyerang veteran Indra Putra Mahyuddin.
Bagaimanapun, The Cops bimbingan Fauzi Pilus bakal melayani kunjungan TRW tanpa khidmat dua pemain utama K.Reuben Thayaparan dan Guilherme yang mana kedua-duanya digantung perlawanan setelah dilayangkan kad merah dalam pertemuan itu.
“Kami tetap tidak boleh mengambil mudah kerana PDRM masih memiliki ramai pemain bagus seperti Fakhrul (Aiman), Safuwan, Faizal (Muhammad) dan Abdul Latiff (Suhaimi). Jika kami dapat tampilkan semangat juang tinggi dan berada di prestasi terbaik, tidak mustahil kami boleh tewaskan mereka dan melangkah ke separuh akhir. Ini adalah satu-satunya kejuaraan yang masih tinggal, jadi kami mahu mencuba sedaya yang termampu.”
Dalam saingan liga, skuad bimbingan Velizar Popov itu berada di kedudukan keenam dengan 25 mata, dengan berbaki dua perlawanan lagi untuk diharungi.