Pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Pelucchi memenangi saingan henjutan pecut beramai-ramai Peringkat 5 Petronas Le Tour de Langkawi 2019 dari Proton City di Tanjung Malim ke Taiping hari ini.
Pelumba kelahiran Giussano,Itali berusia 30 tahun itu mengecewakan pemenang tempat kedua Blake Quick dari pasukan St George Continental dan penyarung jersi hijau Raja Pecut, Travis McCabe (Floyd’s Racing Pro) dengan mengetuai kelompok besar pelumba untuk menamatkan kayuhan sejauh 200.1km itu dengan masa 4 jam 27 minit 11 saat.
Penyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan, Benjamin Dyball dari pasukan Sapuran Racing Team masih mengekalkan jersi kuning yang disarung pada akhir Peringkat 4 di Genting Highlands semalam.
Tiga jersi yang menjadi rebutan terus kekal kepada penyarung masing-masing dengan McCabe mengukuhkan cengkaman pungutan mata kepada 58 mata, 16 mata di depan pencabar terdekat dari pasukan Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Harrif Saleh.
Pelumba Oliver’s Real Food Racing, Angus Lyons terus mengekalkan jersi merah Raja Bukit manakala pelumba Astana-Vino, Vadim Pronskiy kekal bergelar Pelumba Terbaik Asia dengan jersi putih.
Begitupun, Pelucchi nyata sukar digugat apabila mudah menguasai henjutan beramai-ramai ke garisan penamat di Dataran Taiping.
“Memang rentak kayuhan hari ini cukup laju terutama pada sejam pertama tetapi pasukan saya terus membantu kelompok besar untuk mengejar kumpulan breakaway di depan hinggakan jurang masa tidak besar.
“Pada baki 3 kilometer, pasukan saya yang berada di depan peloton dapat menelan pelumba di depan dan ketika itu saya mencari ruang yang baik dan terus menghenjut pada baki 10 meter.
“Saya sukakan pecutan seperti ini yang tidak mempunyai selekoh, Cuma laluan yang lurus. Walaupun Nampak mudah, sebenarnya ia sukar,” kata Pelucchi, pakar pecut berpengalaman yang pernah mewakili Bora-Hansgrohe sebelum dilamar Androni musim ini.
Menurutnya, dia akan berusaha mencari satu lagi kemenangan peringkat pada baki tiga laluan yang agak landai selepas ini, walaupun menyedari pasukan itu kini hanya tinggal lima pelumba.
Katanya, dia berterima kasih dengan pengurusan pasukan itu yang percaya terhadap kemampuannya serta menyenaraikan namanya untuk bersaing dalam perlumbaan besar Asia itu.
Sementara itu, Dyball dalam siding media selepas perlumbaan berkata, dengan jurang yang selesa, dia hanya perlu mengawasi beberapa pencabar terdekat dalam carta individu keseluruhan sebaik perlumbaan bermula.
Walaupun ada kumpulan kecil lapan pelumba yang membuat breakaway, katanya, kehadiran rakan sepasukan Cristian Raileanu membolehkan kumpulan itu sukar untuk mewujudkan jurang besar.
“Bagaimanapun, ini adalah hari yang tetap sukar kerana rentak kayuhan agak laju. Saya gembira dapat menyarung jersi kuning ini sehari lagi, dan menjangkakan tugas akan lebih mudah selepas ini kerana tiga peringkat seterusnya adalah lebih pendek,” kata Dyball.
Pelumba Sapura itu yang merampas jersi kuning apabila mengetepikan cabaran pakar mendaki lain ketika menakluk Genting Highlands, semalam, mengumpul catatan keseluruhan 21 jam 52 minit 53 saat dan kekal 27 saat di depan pencabar terdekat, Hernan Aguirre dari Interpro Cycling.
Peringkat 6 LTdL 2019 esok akan bermula dari Bagan, Pulau Pinang menuju ke Alor Setar, membabitkan kayuhan sejauh 137.7km dengan 3 zon pecutan.