Pelumba basikal remaja negara, Afiq Iskandar menamatkan kempen Jelajah Eropah CIMBF-JCM dengan kejayaan apabila mengungguli Kriterium Draai Van De Kaai bagi kategori ‘Nieuwelingen’ (Bawah 17 Tahun), mengatasi pencabar-pencabar Eropah yang lain dalam kejohanan yang berlangsung di Roosendaal, Belanda, semalam.
Afiq Iskandar, dipilih mengikuti siri perlumbaan dan latihan di Eropah menerusi program pendedahan antarabangsa ‘Path of Champions: Jelajah Eropah 2019’ yang dianjurkan Yayasan CIMB dan Junior Cycling Malaysia merupakan salah seorang daripada lapan pelumba basikal remaja yang diberi peluang menimba pengalaman berbasikal di Belgium dan Belanda.
Rakan sepasukannya, Firdaus Surana, Azrul Sharuddin dan Faris Irfan turut bertanding dalam kategori yang sama namun jelas Afiq berada di dalam kelasnya yang tersendiri.
Terdahulu, Afiq turut melakarkan persembahan yang memberangsangkan selepas meraih tempat kedua di Kriterium Acht van Chaam, Belanda bagi kategori Bawah 17 Tahun selain Faisal Izzudin muncul juara acara lebuh raya bagi kategori ‘junioren’ (Bawah 19 Tahun) dan Firdaus Surana di tempat kedua bagi kategori Bawah 17 tahun untuk saingan Kermesse di Meer Hoogstraten, Belgium.
Program pendedahan antarabangsa tersebut telah pun bermula dari 21 Julai sehingga 9 Ogos dengan dibarisi empat pelumba Bawah 17 Tahun dan empat pelumba Bawah 19 Tahun dari pelbagai negeri.
Barisan pelumba dipilih mengikut kriteria yang ditetapkan dan mencatatkan pungutan mata tertinggi daripada siri perlumbaan tempatan yang dianjurkan Yayasan CIMB dan Junior Cycling Malaysia bermula pada Januari tahun ini.
Jelajah kali ini turut diserikan dengan penajaan kit perlumbaan dari Pro Apparel sebagai Rakan Pakaian Rasmi Junior Cycling Malaysia, dengan tajaan berbentuk pakaian seperti jersi, bib, t-shirt, topi dan wind breaker.
Senarai perlumbaan Jelajah Eropah CIMBF-JCM di Belgium dan Belanda
1. Mijl van Mares, Maarheeze, Belanda
2. Erpe-Mere Bambrugge Kermesse, Bambrugge, Belgium.
3. Lierde Kermesse , Lierde, Belgium
4. Ronde Van Poeldijk, Poeldijk,Belanda
5. Daags Na De Tour, Boxmeer,Belanda
6. Acht Van Chaam, Chaam, Belanda
7. Profonde Van Westland, Wateringen,Belanda
8. Meer Kermesse, Antwerp, Belgium
9. De Draai Van De Kaai, Roosendaal,Belanda
10. Beveren Waas Kermesse, Beveren, Belgium
11. Ronde van Noordeloss, Belanda
Senarai pelumba yang terpilih menyertai Jelajah Eropah CIMBF-JCM:
Kategori Bawah 17 Tahun:
Muhammad Firdaus Surana, 15 tahun (Perlis)
Muhammad Afiq Iskandar Hasyim, 16 tahun (Pelapis Kebangsaan)
Muhammad Faris Irfan Shuhaimi, 15 tahun (Negeri Sembilan)
Muhammad Azrul Sharuddin, 16 tahun (Pahang)
Kategori Bawah 19 Tahun:
Mior Muhammad Hazwan Hamzah, 18 tahun (Perak)
Hairul Hilmie M Rizal, 18 tahun (Mersing)
Chan Jian Le, 17 tahun (Johor)
Mohd Faisal Izuddin Ahmad Joyo, 17 tahun (Terengganu)