Pemain badminton negara harus mengambil iktibar penggantungan seumur hidup yang dikenakan kepada warga negara yang terlibat dalam kegiatan penetapan perlawanan oleh Persatuan Badminton Dunia (BWF) agar tidak terjebak dengan kegiatan itu.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan tindakan akan diambil kepada individuyang terlibat adalah langkah tepat bagi membanteras kegiatan tidak bermoral itu terus mencalar imej badminton negara.
Jelasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BAM ke-75, keputusan penggantungan itu juga merupakan pengajaran kepada para pemain untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama dilakukan oleh dua bekas pemain kebangsaan, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chung Seang yang sebelum ini masing-masing dijatuhkan hukuman 20 dan 15 tahun oleh BWF.
Tambahnya tindakan BWF ini memberi peringatan bahawa tiada jalan pintas yang boleh digunakan atau mengutamakan keuntungan dalam sukan badminton kerana ia harus dilakukan dalam cara yang sihat. – Oleh Siti Zafirah Kamal
- Advertisement -