Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari memberi jaminan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan itu akan selesai dalam masa sebulan.

Menurut Adly yang juga Menteri Besar Melaka, pasukan itu berdepan krisis kewangan kerana terdapat masalah berhubung tajaan termasuk daripada agensi dan syarikat swasta selepas berlakunya peralihan kerajaan pada Mei lalu.

ā€œKita sudah mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara ini dan diharap dalam tempoh sebulan sumbangan penaja diterima. Pemain-pemain juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan saya harapkan tumpuan mereka tidak terganggu.

ā€œKita tidak akan sama sekali abaikan kebajikan mereka dan sedaya upaya pastikan perkara ini selesai segera,ā€ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Ke-63 MUSA pada Ahad.

Melaka menjadi pasukan Liga Malaysia terbaru selepas Kelantan dan Pulau Pinang untuk dihimpit kemelut kewangan sehingga diberitakan sudah dua atau tiga bulan pemainnya tidak menerima gaji penuh malah ada yang tidak menerima gaji langsung.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh tersebut Melaka yang dibimbing E.Elavarasan tetap menunjukkan peningkatan prestasi yang cukup drastik dan berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh. Mereka tidak tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dan ketika jendela perpindahan kedua Jun lalu telah berjaya mendapatkan pemain-pemain berkualiti.

Dalam perkembangan lain, MUSA turut mengumumkan pelantikan bendaharinya, Farhan Ibrahim sebagai Setiausaha Agung mereka yang baru manakala Setiausaha Khas Presiden MUSA, Yuhaizad Abdullah pula dilantik sebagai Bendahari Kehormat MUSA yang baharu.

Pelantikan mereka dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif MUSA yang berlangsung selepas Kongres Tahunan tersebut yang dihadiri oleh semua anggota Jawatankuasa Eksekutif MUSA yang baharu dipilih dalam pemilihan pada kongres itu.Ā MUHD AIMANĀ 

- Advertisement -