Barisan pemain Liga Malaysia tidak terkecuali bersama-sama mendukung inisiatif Malaysian Football League (MFL) dalam usaha menangani cabaran pandemik COVID-19.
Kapten pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim berkata kain rentang MFL yang memperlihatkan frasa “Bersama Kita Melawan COVID-19, Patuhi SOP” dipaparkan di setiap stadium dalam aksi pusingan pertama TM Piala Malaysia 2020, adalah satu mesej yang cukup baik untuk sentiasa mengingatkan semua pihak agar terus cekal menghadapi pandemik ini.
Sebagai warga sukan, khususnya dalam arena bola sepak, Azmi berkata, ia turut menjadi tanggungjawab mereka sebagai pemain untuk patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), biarpun ketika bersukan atau beriadah.
“Ini satu mesej bagus yang turut disampaikan oleh MFL dari segi memaparkan kain rentang di stadium sebelum sepak mula untuk kita sentiasa mengingatkan antara satu sama lain untuk menjaga diri dan mengikuti SOP.
“Walaupun kita sedang bersukan, atau dalam persediaan menghadapi perlawanan, tanggungjawab kita bersama untuk tetap menjaga diri sebaik mungkin kerana perkara ini tidak boleh diambil mudah.
“Jadi dengan idea daripada MFL ini, sekurang-kurangnya nasihat dan saranan itu akan tetap terpahat dalam diri tidak kira kita berada di mana”, katanya.
Sementara itu, pertahanan Kelantan United, Amiridzwan Taj yang turut menyaksikan perlawanan berlangsung semalam menganggap usaha yang dilakukan oleh MFL bertepatan dengan situasi yang sedang melanda negara ketika ini.
Dia menzahirkan keyakinan penuh kepada MFL yang menitikberatkan penjagaan SOP dengan betul khususnya dalam kalangan pasukan dan pemain itu sendiri untuk memastikan segala perancangan Liga Malaysia berjalan lancar tanpa membahayakan diri sendiri.
“Untuk saya sendiri, apa yang dibuat oleh MFL untuk saingan Piala Malaysia ini merupakan mesej yang cukup baik kerana kita tahu Liga Malaysia juga antara yang turut terjejas.
“Jadi, apabila kita masih boleh beraksi, dengan SOP yang ditetapkan, sudah pasti penjagaan diri perlu diutamakan dan mesej yanh disampaikan di kain rentang itu cukup jelas untuk kita sama-sama melawan COVID-19 ini.
“Selain itu, saya rasa pasti ada banyak lagi cara lain juga yang boleh diselit MFL untuk terus mengingatkan semua orang tentang tanggungjawab bersama untuk mengikut saranan daripada pihak kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, dua lagi perlawanan TM Piala Malaysia 2020 akan berlangsung malam ini membabitkan pasukan Terengganu FC dan PJ City FC manakala Perak pula akan menentang Kelantan United.