#Pendahulu, Aiman gagal ke pusingan akhir
Perlumbaan kategori Wira semakin sengit dan penuh drama setelah pendahulu keseluruhan, Mohd Aiman Tahiruddin terkeluar dari barisan pelumba yang layak ke perlumbaan akhir setelah menduduki tempat terakhir ketika sesi kelayakan pada hari pertama pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akibat masalah mekanikal jentera di Dataran Bandar Penawar, Johor.
Mohd Aiman yang hanya memerlukan tiga mata sahaja lagi untuk mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan terpaksa mengharapkan pencabarnya, Mohd Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing Team) tidak memenangi perlumbaan seandainya mahu menamatkan musim 2017 selaku juara keseluruhan.
Dalam pada itu, Mohd Syafieq Aiman turut menghadapi cabaran menjelang perlumbaan akhir apabila bakal memulakan perlumbaan akhir dari petak ketiga setelah mencatat masa 59.188s pada sesi kelayakan Shootout di belakang Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) yang merakam masa terpantas 59.063s diikuti rakan sepasukan, Syarifuddin Azman kedua, 59.136s.
Syafieq akui turut terkejut dan tidak menyangka Aiman akan menghadapi masalah mekanikal dan gagal layak ke perlumbaan akhir. āSaya tidak tahu apa yang berlaku ketika sesi kelayakan. Saya terkejut dan sama sekali tidak menyangka Aiman gagal untuk mara ke perlumbaan akhir. Walaupun keadaan ketika ini memberi lebih tekanan, saya berharap dapat menggunakan peluang ini untuk mencipta kemenangan,ā jelas Syafieq.
MISI KASMA BELUM SELESAI
Kasma Daniel Kasmayuddin semakin hampir untuk menamatkan musim 2017 dengan cemerlang apabila berjaya mengungguli sesi kelayakan pada hari pertama pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Bandar Penawar, Johor.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu merakamkan catatan terbaik 56.178s, 0.409s lebih pantas berbanding Md Izzat Zaidi Salehan (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) yang muncul pelumba kedua terpantas dengan masa 56.587s manakala rakan sepasukan Kasma, Mohd Ramdan Mohd Rosli ketiga terpantas dengan masa 56.731s.
Meskipun telah mengesahkan kedudukan selaku juara keseluruhan CP150, pelumba berusia 17 tahun itu mahu menamatkan musim 2017 dengan satu lagi kemenangan bagi melengkapkan koleksi musim 2017 kepada enam kemenangan peribadi sebagai hadiah kepada penyokong di halaman sendiri minggu ini.
āWalaupun litar ini pertama kali berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix, namun saya sangat menggemarinya. Gabungan laluan lurus panjang dan beberapa selekoh yang sempit sesuai dengan gaya āstop and goā saya.
āTambahan pula beraksi di laman sendiri, sudah tentu saya semakin bersemangat untuk menamatkan musim 2017 ini dengan satu lagi kemenangan,ā jelas Kasma.
Sesi kelayakan CP115 diungguli Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 57.623s diikuti Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang), 57.743s dan Azroy Hakeem Anuar dan Md Haziq Fairues yang mencatat masa serupa, 57.932s.
KEPUTUSAN KELAYAKAN
CP150
1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 56.178s
2 Md Izzat Zaidi Md Salehan (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 56.587s
3 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 56.731s
4 Md Helmi Azman (SGR) Onexox TKKR Racing Team 56.739s
5 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 56.756s
CP115
1 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 57.623s
2 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 57.743s
3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 57.932
4 Azroy Hakeem Anuar (KUL) GiVi Honda Yuzy Racing Team 57.932s
5 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 58.166s
SHOOTOUT
WIRA
1 Saiful Azhary Muhamad (JHR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 59.063s
2 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 59.136s
3 Md Syafieq Aiman (JHR) Elf Koyoko KC Racing Team 59.188s
4 Md Danial Syahmi (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – AFB Tech 59.261s
5 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 59.353s