Tirai Sukan Para ASEAN ke-9 bakal disingkap dengan Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tumpuan dengan kehadiran hampir 3,300 atlet, pegawai kontinjen dan pegawai temasya yang dijadualkan dari 17-23 September ini. 

Aksi yang bakal disajikan mungkin sedikit berlainan tetapi falsafah kesukanan Sukan SEA tetap terpahat kukuh dengan kelibat 1,452 atlet dari pelbagai jenis kategori kecacatan bakal menghidupkan semula rasa teruja rakyat dan penyokong untuk menyaksikan temasya yang meriah, inklusif selain membabitkan rakyat semua peringkat.

Di kalangan penyokong tempatan, harapan amat tinggi untuk menyaksikan kontinjen negara mencapai sasaran 103 pingat emas dan sekaligus, dinobat sebagai juara keseluruhan untuk mengikuti jejak juara kontinjen Sukan SEA KL 2017. 

Sukan Para ASEAN ke-9, yang ketiga dihoskan oleh Malaysia selepas edisi pertama pada 2001 dan edisi ke-5 pada 2009,  menjadi pentas buat atlet elit Para negara dari tiga kategori kecacatan utama – fizikal, penglihatan, intelektual – untuk menuruti jejak rakan seperjuangan dari kalangan atlet normal.  

Sama ada di stadium, di trek, padang, kolam renang, di velodrom atau gelanggang dalam dewan mahupun di jalanraya, peminat dan penonton dijanjikan dengan momen-momen yang bakal memberikan inspirasi serta menghargai jerih dan perih perjuangan atlet para dalam mengatsi cabaran di  atas dan di luar padang. 

Sukan Para ASEAN ke-9 bermula secara rasmi pada 17 September dengan aksi acara berbasikal para di Velodrom Nasional (yang menawarkan 7 emas), goallball and ping pong sebelum berlangsungnya upacara pembukaan rasmi pada lewat petang di Stadium Nasional Bukit Jalil.  Temasya berakhir pada 23 Sept.

Berbanding dekad sebelum ini, sukan para di rantau Asia Tenggara telah mengalami evolusi drastik dan Malaysia tidak terkecuali dengan kelahiran ramai jaguh Asia dan dunia seperti Mohamad Ziyad Zolkefli, Ridzuan Puzi, Latif Romly, Siti Nor Radiah Ismail dan tidak lupa, bekas bintang Para yang banyak berjasa seperti P. Mariapan, Cheok Kon Fatt, Siow Lee Chan (powerlifting),  the Allahyarham Salam Sidik ( memanah) and Allahyarham Azlan Mat Lazim (olahraga), Hasihin Sanawi (memanah) dan bekas perejam lembing negara Lee Seng Chow.

Thailand, dengan program Para yang kemas sejak sekian lama, bagaimanapun masih kekal sebagai kuasa utama para di Asia Tenggara dengan kelahiran ramai jaguh dunia dan pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik dalam olahraga, renang, boccia dan powerlifting. 

Setakat ini, Thailand sudah berjaya mearaih 19 pingat emas dari Sukan Paralimpik sejak temasya Seoul 1988, dengan enam emas di raih pada Paralimpik Rio 2016. 

Kelibat maskot popular RIMAU yang sentiasa aktif dan ceria dengan pelbagai gelagat pasti sekali lagi dinantikan peminat untuk memeriahkan suasana sepanjang temasya. 

Sebaik berakhirnya Sukan SEA KL207 pada 30 Ogos lepas, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 pantas memulakan usaha transisi dari Sukan SEA ke Sukan Para ASEAN dan memastikan aspek-aspek kritikal seperti sukan dan teknikal, sistem IT dan keputusan, media, penyiaran, sukarelawan, penginapan, akreditasi, pengangkutan dan upacara pembukaan dan penutupan diberi perhatian khusus.

Keseluruhannya, 368 pingat emas akan dipertandingkan dan tumpuan pasti terarah kepada prestasi kontinjen negara yang mensasarkan habuan besar dalam empat sukan iaitu olahraga, renang, bowling tenpin dan berbasikal para. 

Enam belas (16) sukan yang disenaraikan kali ini ialah memanah (6 emas), olahraga (133), badminton (14), boccia (7),  catur (24), berbasikal para (14 dalam acara trek dan 12 emas jalanraya), bola sepak 5 Sebelah (1), bolasepak CP (1), goalball (2), powerlifting (19), renang (84), bowling tenpin (18), ping pong (27), bola tampar duduk (1), bola keranjang kerusi roda (2) dan tenis berkerusi roda (3).

“KL2017 mempertandingkan jumlah sukan terbesar dalam sejarah Sukan Para ASEAN.  Bilangan dan pemilihan jenis sukan ditetapkan selepas proses rasmi penyataan minat (expression of interest) yang di lakukan oleh Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) sejak awal tahun ini yang disertai oleh semua negara,” kata Pengarah Sukan APSF, Dr Nino Susanto.

Di kalangan peminat dan rakyat, sasaran 103 pingat emas dan kejuaraan keseluruhan pasti menjadi impian untuk menghasilkan kejayaan berganda buat Malaysia yang kini menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-60.

Kejayaan sebagai juara keseluruhan pasti sekaligus meranapkan sasaran Thailand untuk meraih kejuaraan buat kali ketujuh. Malaysia sebelum ini muncul juara pada 2001 manakala  Indonesia meleburkan impian hatrik Thailand apabila menjuarai Sukan SEA 2011 di Solo.

FAKTA RINGKAS SUKAN PARA ASEAN ke-9:

Nama Acara :          Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017

Tempoh:                   17-23 Sept 2017      

Penganjur :               Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017

Hos:                           Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)

Kerjasama:               Persekutuan Sukan Para ASEAN  (APSF)

Kluster Utama:        Bandar Sukan KL, Bukit Jalil & MITEC, Jalan Duta

Jumlah Sukan :         16

Jumlah acara:          368

Jumlah pingat emas: 368

Jumlah atlet:            1,452 (1,080 lelaki, 372 wanita)

Jumlah Pegawai kontinjen :  691

Jumlah Pegawai Teknikal: 1,113

Jangkaan jumlah media: 300

- Advertisement -