Perseorangan wanita negara Goh Jin Wei sah tidak akan beraksi di kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan bermula pada minggu depan bagi saingan Divisyen 1.
Ketika ini, sedang berlangsung saingan Divisyen 2 yang melibatkan enam pemain simpanan BAM menggunakan format round robin dimana dua pemain terbaik akan layak ke Divisyen 1.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann menjelaskan Goh Jin Wei tidak akan menyertai kejohanan kompetitif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.
Jelas Choong Hann, keadaan semasa Jin Wei masih belum mencapai tahap minima untuk turun beraksi secara kompetitif.
“Memang dia (Goh Jin Wei) tidak bermain kerana sedang berada dalam fasa pemulihan dan intensiti latihan dia belum di tahap 100 peratus lagi dan bukan sebab kerana pembedahan di bahagian perut,”kata Choong Hann.
Tambahnya lagi, selain latihan di dalam gelanggang dan di gimnasium, Choong Hann turut mendapatkan pandangan daripada doktor berhubung keadaan semasa Jin Wei sebelum memutuskan sebarang tindakan seterusnya.
“Kita masih memantau kerana dia berasa tidak selesa di bahagian kaki dan langkah berjaga jaga sedang diambil. Kecederaan ini bagaimanapun bukan sesuatu yang serius untuk Jin Wei kerana dia pernah mengalami kecederaan yang lebih serius sebelum ini,”katanya lagi.
Mengulas status Jin Wei dalam pemilihan ke Piala Uber pada Oktober, Choong Hann menjelaskan peluang untuk dia masih terbuka dan segalanya bergantung kepada keadaan fizikal Jin Wei samada bersedia atau sebaliknya.
Justeru, Jin Wei punya masa untuk membuktikan andai dia layak untuk dibawa ke Denmark untuk menggalas tugas di sana nanti.
“Kita mempunyai tempoh diantara lima hingga enam minggu sebelum senarai nama yang akan dibawa dimuktamadkan. Jin Wei sudah biasa beraksi di kejohanan kejohanan besar. Jika dia tidak mampu untuk memberikan yang terbaik adalah kerana badannya masih belum bersedia dan bukan kerana cara bermain,”kata Choong Hann lagi.
Pemain berusia 20 tahun itu tidak beraksi dalam mana mana pertandingan kompetitif hampir enam bulan sejak menjalani pembedahan colonoscopy pada tahun lalu.
Beliau dijangka membuat penampilan pada tahun ini namun hanya sempat menyertai dua kejohanan; Thailand Masters pada Januari dan kejohanan Berpasukan Asia pada Februari di Manila, Filipina sebelum Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan penundaan dan pembatalan kejohanan dari pelbagai peringkat susulan penularan pandemik Covid 19 di seluruh dunia.
Pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber dijangka berlangsung di Aarhust, Denmark bermula dari 3-11 Oktober.
Malaysia berdepan rintangan berliku apabila diundi bersama sama Korea Selatan, Indonesia dan Australia dalam kumpulan B.