Liga Malaysia memiliki potensi cukup besar yang seharusnya dimanfaatkan oleh semua pihak khususnya rakan penaja, demikian menurut Ketua Pegawai Pemasaran iflix, Jason Monteiro.
Menurut Jason, perubahan dan pembaharuan di dalam kancah Liga Malaysia yang dilakukan oleh Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim merupakan faktor utama memacu keyakinan iflix untuk terus menjadi rakan penyiaran rasmi Liga Malaysia bagi tahun kedua.
Sambil mengharapkan lebih banyak syarikat korporat akan membantu memeriahkan sukan nombor satu negara itu, Jason juga percaya ianya akan menjadi satu kerugian kepada mereka jika tidak tampil ke depan memandangkan Liga Malaysia memiliki potensi besar menjadi satu acara gah di Asia Tenggara pada masa akan datang.
“Sejujurnya kami sangat gembira dengan Liga Malaysia dan saya tidak pasti kenapa ada pihak lain masih ragu-ragu untuk terlibat atau menaja. Ini kerana setakat ini perlawanan bola sepak di Malaysia memiliki rating paling tinggi jika mahu dibandingkan dengan mana-mana acara.
“Bola sepak telah mengatasi acara seperti konsert atau perlawanan Liga Perdana Inggeris yang mana majoriti penduduk di Lembah Klang sahaja menonton bola sepak England tetapi apabila melibatkan bola sepak Malaysia, seluruh rakyat menyaksikannya.
“Ditambah lagi pembaharuan dan perubahan yang dilakukan oleh Pengerusi MFL, Tunku Ismail, kenapa tidak (iflix terus menjadi penaja Liga Malaysia)? Ini kerana kami melihat satu masa depan yang cukup cerah dalam bola sepak Malaysia dan itulah sebab kenapa kami tampil ke depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jason mendedahkan pendekatan iflix yang kini membuka ruang menerusi platform iflix secara percuma tanpa pendaftaran mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
“Kami mahu membuka lebih banyak perlawanan secara percuma sebanyak mungkin dan berharap seluruh rakyat Malaysia dapat menikmatinya. Bola sepak adalah sukan terbesar di negara ini. Falsafah kami adalah kenapa mahu menyekat hak dan cuba mengawalnya seperti stesen televisyen berbayar yang lain yang mana pendekatan iflix lebih berbeza.
“Mengapa tidak berkongsi sahaja kepada semua yang mana bukan sahaja perlawanan tetapi teknologi ini disediakan. Dalam dunia bola sepak, teknologi telah mara setapak dan teknologi baharu muncul iaitu televisyen telefon.
“Menarik dalam teknologi ini, kamu tidak perlu muat turun dan itulah sebab ia sangat mudah untuk semua orang ketika melayari pelayar menerusi ipad, telefon atau sebagainya untuk menikmati perlawanan bola sepak,” tambahnya. MUHD AIMAN