Oleh Muhammad Aiman
Hasrat Kedah untuk kembali merampas kedudukan pendahulu Liga Super dari Pahang tidak kesampaian setelah diikat Selangor 1-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Selayang, sebentar tadi.
Tatkala Kedah dilihat sudah begitu hampir untuk mengesahkan tiga mata setelah mendahului menerusi jaringan sepakan percuma Sandro Da Silva pada minit ke-80, kesilapan Akram Mahinan menjatuhkan Syahmi Zulkifli dalam kotak penalti pada masa kecederaan membawa padah buat Lang Merah.
Meskipun Ifwat Akmal berjaya menampan sepakan diambil Victor Astafei, Juliano Mineiro pantas menolak bola muntah untuk jaringan penyamaan buat Red Giants. Satu mata yang diraih menyaksikan Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe berada di tangga kedua dengan 15 mata manakala Selangor pula kembali mendaki ke tangga ketiga dengan 12 mata.
Dalam aksi di Ipoh, jaringan hatrik penyerang import, Mohamed Ghaddar membolehkan Kelantan bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan pertama dalam empat perlawanan dengan menundukkan tuan rumah Perak 4-2.
Setelah tiga kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri, Zahasmi Ismail yang berdepan tekanan hebat penyokong merehatkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan menurunkan Ramadhan Hamid di dalam kesebelasan utama.
Bekas penjaga gol Harimau Muda itu membalas kepercayaan Zahasmi dengan aksi cemerlang apabila mengagalkan beberapa percubaan berbahaya the bos gaurus untuk membantu Kelantan melakar kemenangan ketiga di gelanggang lawan.
Perak mendahului pada minit ke-18 menerusi sentuhan Vladimir Mirchev namun Ghaddar mengikat kedudukan di separuh masa pertama 1-1 setelah bijak memperdayakan Hafizul Hakim pada minit ke-38.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan setelah permainan bersambung namun tambahan jaringan yang dicari hanya hadir dalam tempoh lapan minit terakhir di mana empat jaringan terhasil.
Ghaddar menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-82 sebelum dia melengkapkan hatrik empat minit kemudian dengan menyempurnakan sepakan penalti. Perak mengecilkan jurang pada minit pertama masa kecederaan menerusi tolakan Mirchev namun pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin membunuh kebangkitan pasukan negeri kelahirannya menerusi jaringan keempat seminit kemudian.
Kemenangan membolehkan Kelantan melonjak ke tangga keenam dengan sembilan mata manakala kekalahan kedua buat Perak menyaksikan mereka tergelincir ke tangga kelima dengan sebelas mata.
Pulau Pinang pula meraih mata pertama mereka selepas tujuh perlawanan selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka United di Stadium Batu Kawan.
Melaka bimbingan Eric Williams dilihat hampir sahaja menghadiahkan kekalahan ketujuh berturut-turut buat tuan rumah apabila mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan Ahmad Khuzaimi Piee namun harimau kumbang mencuri satu mata apabila mengikat kedudukan tiga minit sebelum tamat permainan menerusi Reinaldo Lobo.
Dalam satu lagi aksi, kemarau kemenangan naib juara Liga Super musim lalu, Felda United melebar kepada lapan perlawanan apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang T-Team di Kuala Terengganu.