Tirai saingan Sepaktakraw League 2018 dilabuhkan penuh dramatik pada Ahad, dengan Penang Black Panthers dinobatkan selaku juara STL Premier buat musim ketiga berturut-turut.

Penang Black Panthers seperti dijangka tidak bermasalah menutup cabaran dengan membenam Melaka Titans 2-0, tetapi mereka perlu berterima kasih kepada KL Thunder yang menewaskan pendahulu ATM Guardians dengan keputusan 2-1.

Menuju ke aksi hari terakhir, Penang Black Panthers dan ATM Guardians mengumpul jumlah mata sama dan hanya dipisahkan menerusi beza set menang.

Setelah gandingan Syahir Rosdi-Azlan Alias-Zaim Razali memacu Penang Black Panthers mencatat kemenangan mudah ke atas Melaka Titans 21-13, 21-15, mereka kemudiannya mengharapkan KL Thunder akan sekurang-kurangnya berjaya mencuri satu set dari ATM Guardians.

Begitupun regu KL Thunder ditunjangi Aizat Azmi yang berganding dengan Amirul Zazwan Amir dan Norhafizi Razak tampil cemerlang untuk mengecewakan ATM Guardians apabila melakar kemenangan 21-17, 14-21, 21-18 sekaligus membantu Penang Black Panthers mempertahankan kejuaraan.

ā€œIa satu penamat yang cukup mendebarkan, terima kasih kepada semua pemain-pemain yang telah menunjukkan prestasi cukup konsisten sepanjang musim ini dan terima kasih kepada KL Thunder. Walaupun ada yang berpendapat bahawa mereka mungkin akan memberi laluan mudah kepada ATM Guardians untuk menjadi juara, saya tidak merasakan begitu dan mereka membuktikannya.

ā€œApapun tahniah kepada ATM Guardians yang telah memberikan tentangan sengit sehingga hari terakhir, mereka menjadikan ianya sukar buat kami dan mengerah kami bekerja keras. Sememangnya mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga adalah sesuatu yang cukup manis,ā€ kata jurulatih Penang Black Panthers, Helmi Ismail.

Selaku juara Penang Black Panthers membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM50,000 dan lebih manis apit kanan mereka, Azlan Alias dinobatkan selaku apit kanan terbaik.

ATM Guardians tidak pulang dengan tangan kosong, selain memenangi RM30,000, jurulatih mereka Aswadi Abdullah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik manakala Hairul Hazizi Haidzir dinobatkan sebagai tekong terbaik STL Premier 2018.

Sementara itu, Perak Bison dan Kelantan Warriors pula melengkapkan kedudukan enam teratas sekaligus menyambar dua slot terakhir untuk bermain di STL Champions Cup setelah menewaskan lawan masing-masing.

Perak Bison menerusi regu Yus Hanif Rosli-Azwan Muhrim-Fadzil Mustapha bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan PDRM Defenders 2-1 (15-21, 23-21, 21-12) manakala regu Kelantan Warriors gandingan Hisyam Mat-Aidil Aiman Azwawi-Yusie Jusoh tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Terengganu Turtles 2-0 (21-15, 21-15).

Lapan pasukan yang layak ke STL Champions Cup yang dijadual berlangsung 7-16 Disember depan adalah Penang Black Panthers, ATM Guardians, KL Thunder, Perak Bison, Johor Tigris dan Kelantan Warriors dari STL Premier. Mereka akan disertai oleh dua pasukan STL Divisyen Satu iaitu Negeri Sembilan Antlers dan Sabah Mountaineers.

Senarai pemenang keseluruhan STL Premier :
Juara : Penang Black Panthers (RM50,000)
Naib Juara : ATM Guardians (RM30,000)
Tempat ketiga : KL Thunder (RM20,000)
Tempat keempat : Perak Bison (RM10,000)
Tekong terbaik : Hairul Hazizi Haidzir (ATM Guardians)
Apit kanan terbaik : Mohamad Azlan Alias (Penang Black Panthers)
Apit kiri terbaik : Farhan Adam (Selangor Pistons)
Jurulatih terbaik : Aswadi Abdullah (ATM Guardians)
Pengurus terbaik : DSP Zakaria Hj Din (PDRM Defenders)
Anugerah Fair Play : Terengganu Turtles

- Advertisement -