Oleh Muhammad Aiman
Buat pertama kalinya dalam sejarah Sukan Olimpik, Malaysia akan mempunyai ‘sekurang-kurangnya’ dua wakil di final badminton – tanpa mengambil kira satu lagi final jangkaan menerusi Dato’ Lee Chong Wei – sekaligus menjamin tambahan dua pingat perak untuk dibawa pulang dari bumi Rio De Janeiro.
Setelah Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melakar sejarah muncul beregu campuran pertama untuk mara ke final temasya terbesar dunia itu, gandingan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula terus mencipta sensasi dengan meneruskan prestasi ‘giant-killer’ mereka.
V Shem-Wee Kiong adalah juga duta minuman istonik terkemuka 100PLUS.
Jika di suku akhir V Shem-Wee Kiong menunjukkan jalan keluar kepada pasangan nombor satu dunia Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan, kali ini mereka tampil dengan satu lagi aksi bertenaga bagi menyingkirkan gandingan nombor lima dunia Chai Biao-Hong Wei dalam pertarungan tiga set 21-18, 12-21 dan 21-17 di separuh akhir, sekaligus menamatkan penantian 20 tahun Malaysia untuk mara ke final beregu lelaki.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam acara beregu lelaki di final adalah di Atlanta 96, apabila Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock membawa pulang pingat perak setelah tewas kepada gandingan nombor satu dunia ketika itu Ricky Subagja-Rexy Mainaky.
Bagaimana mahu menukar warna perak kepada emas, kini terpulang kepada prestasi di atas gelanggang yang bakal diterjemahkan V Shem dan Wee Kiong dalam aksi final, sekali lagi apabila turun menentang pilihan keempat Fu Haifeng-Zhang Nan dari China, pada Jumaat.
Haifeng-Zhang Nan mara ke final setelah menundukkan pasangan bukan pilihan dari Great Britain, Marcus Ellis-Chris Langridge 21-14, 21-18.
Menariknya, V Shem-Wee Kiong, beregu di kedudukan ke-12 dunia yang hadir ke Rio tanpa harapan tinggi baru sahaja menewaskan Haifeng dan Zhang Nan dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Sabtu lalu sekaligus memberikan harapan kepada kita betapa tidak mustahil untuk satu lagi sejarah dilakar pada edisi kali ini.