peng.soon-liu.ying.3

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia dipaksa menanti lebih lama untuk menamatkan penantian mengucup pingat emas pertama Sukan Olimpik, setelah pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas dalam perlawanan akhir kepada gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir dan sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Peng Soon-Liu Ying – yang juga duta minuman isotonik terkemuka 100PLUS – sejak dari awal dilihat gugup dan bergelut menangani tekanan beraksi di final terbesar dalam karier mereka, menyaksikan gandingan nombor sebelas dunia itu tidak mampu menterjemahkan prestasi terbaik berdepan aksi agresif Tontowi dan Lilyana.

Gandingan nombor tiga dunia itu nyata tidak berada dalam mood untuk ‘memberi muka’ apabila menguasai sepenuhnya perlawanan dengan aksi bertenaga, pukulan smash padu dan permainan menyerang yang langsung tidak mampu dijawab Peng Soon dan Liu Ying.

Kemenangan 21-14, 21-12 dalam masa 45 minit membolehkan Tontowi dan Lilyana muncul pasangan Indonesia pertama menjuarai acara beregu campuran sekaligus menebus kecewa Lilyana yang sekadar meraih pingat perak pada Beijing 2008 – ketika itu bergandingan dengan Nova Widianto.

Manakala bagi Peng Soon-Liu Ying, meskipun tewas, perlu diakui pencapaian mara ke final setelah menyingkirkan finalis empat tahun lalu dan menghadiahkan pingat perak itu sendiri sudahpun menjadi satu catatan sejarah. Malaysia kini mengumpul dua pingat perak dan satu gangsa di Rio De Janeiro. 

Dengan keputusan ini, sandaran emas seterusnya bagi Malaysia adalah pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang akan turun menentang gandingan China, Fu Haifeng-Zhang Nan dalam perlawanan akhir yang dijadual berlangsung Jumaat.

Sementara itu, pingat gangsa bagi acara beregu campuran dimenangi oleh Zhang Nan-Zhao Yunlei yang menundukkan rakan senegara, Xu Chen-Ma Jin 21-7, 21-11 dalam apa yang boleh disifatkan sebagai ulangan final London 2012.

- Advertisement -