squash-crap

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia pulang dari Kejohanan Skuash Berpasukan Wanita Dunia di Paris dengan pencapaian sekadar menduduki tempat keenam setelah tewas kepada Amerika Syarikat pada perlawanan penentuan tempat kelima, lewat malam Sabtu.

Ia adalah pencapaian terburuk bagi pasukan wanita Malaysia yang merupakan finalis 2014 sejak menduduki tempat ketujuh pada edisi 2002 di Odense, Denmark.  

Meskipun mencerminkan keupayaan untuk melangkah jauh setelah mengungguli peringkat kumpulan dengan kemenangan mudah ke atas Belanda, Australia dan Austria, faktor kebergantungan terhadap kudrat Dato’ Nicol David semata-mata dilihat antara punca menjurus kepada prestasi buruk selepas itu. 

Ketika tewas kepada pilihan keempat Hong Kong di suku akhir, hanya Nicol menyumbang mata tunggal negara dan dia juga yang memacu kemenangan 2-0 ke atas New Zealand pada aksi klasifikasi tempat kelima-kelapan.  

Namun berdepan pilihan ketujuh, Amerika Syarikat – negara yang sedang menunjukkan peningkatan di arena skuash – Nicol sendiri tidak dapat membantu tatkala ‘mata wajib’ yang sepatutnya hadir menerusinya juga ‘dirampas’.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tewas kepada pemain meningkat naik, Amanda Sobhy 2-3 (6-11, 11-5, 7-11, 11-6, 9-11) dan lebih mengecewakan, ia adalah kekalahan pertama Nicol di kejohanan ini selepas 39 perlawanan.

Harapan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan kemudiannya digalas Delia Arnold, namun pemain nombor 17 dunia itu gagal menepati ekspetasi tinggi ke atasnya apabila tewas 2-3 (7-11, 11-9, 13-11, 10-12, 8-11) dalam pertarungan lebih sejam kepada pemain kurang ternama, Reeham Sedky.  

Dengan usia Nicol sudahpun menjengah 34 tahun pada 2017, selama mana Persatuan Raket Skuash Malaysia (SRAM) mahu terus bergantung kepada kudrat pemain itu bagi memburu pencapaian individu mahupun berpasukan. 

Post-mortem perlu segera dibuat, bukan untuk mengkaji kejatuhan prestasi Nicol, tetapi mengkaji kegagalan SRAM di dalam mengetengahkan pengganti-pengganti setanding dan mencari solusi mengatasi masalah ini.

Mesir ketika ini mempunyai empat pemain di kelompok 10 terbaik dunia, dan setiap tahun mereka konsisten mengetengahkan bakat-bakat baru yang berpotensi mencabar kejuaraan dunia tetapi bagi Malaysia, memalukan kerana sejak awal, kita tidak pernah mempunyai lebih dari dua pemain di kelompok 20 terbaik dunia. 

- Advertisement -