Barisan penerjun negara yang ‘terkantoi’ mengambil minuman keras dan berkelakuan memalukan dalam keadaan mabuk dalam satu rakaman video yang tersebar beberapa hari lalu, hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyatakan rasa kesal di atas kejadian itu.

Permohonan maaf itu dibuat dalam satu sidang media yang disertai oleh 15 atlet terdiri daripada penerjun senior dan remaja di Majlis Sukan Negara pada Khamis dengan atlet Program Podium Chew Yi Wei yang merupakan salah seorang ‘watak utama’ dalam video itu bertindak sebagai jurucakap.

Walaupun hanya tujuh atlet yang terbabit di dalam video yang tular itu, Yi Wei berkata mereka telah berbincang dan bersetuju untuk berdepan media serta orang ramai sebagai satu pasukan.

“Kami sedar betapa besarnya implikasi dari perbuatan kami itu, kami kesal dan memohon maaf. Ia kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Kami cuai dan perlu bertanggungjawab, kami berjanji kejadian ini tidak akan berulang lagi,” kata Yi Wei.

Ini adalah insiden besar kedua menghimpit skuad terjun negara dalam tempoh kurang setahun setelah bekas penolong jurulatih Huang Quang didakwa atas tuduhan merogol salah seorang atlet terjun, namun kemudiannya dia dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada April lalu.

Selain Yi Wei, enam atlet lain di dalam video yang tersebar itu adalah dua lagi atlet Podium iaitu Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri serta empat atlet remaja iaitu Jellson Jabilin, Gabriel Gilbert Daim, Kimberly Bong dan Tracy Vivian Tukiet. 

Video itu difahamkan dirakam ketika masing-masing sedang meraikan sambutan Tahun Baru Cina ketika kem latihan di China pada bulan Februari lalu.

Ditanya sama ada kemungkinan wujudnya unsur sabotaj kerana ianya tersebar selepas hampir empat bulan, Yi Wei berkata dia tidak ingin menuduh sesiapa sebaliknya menegaskan ianya berlaku kerana kesilapan sendiri.

“Kami tidak tahu siapa yang merakamnya, kami juga tidak mahu membuat spekulasi. Walau siapa pun yang menyebarkannya, perbuatan kami adalah salah. Kesalahan tetap merupakan satu kesalahan. Ia tidak akan berlaku jika kami tidak melakukannya. Kami tidak boleh kawal apa yang orang lain boleh lakukan, tetapi kami boleh kawal atitud kami sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sudahpun mengambil tindakan segera dengan memotong elaun penerjun yang terbabit sebanyak separuh bagi dua bulan akan datang manakala penglibatan mereka di dalam Sukan Asia masih samar, menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Disiplin ASUM. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -