Oleh Ku Mohd Lufti
Kejutan berlaku kepada gandingan bergu campuran nombor satu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, apabila gagal menerskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau.
Peng Soon dan Liu Ying yang juga pilihan utama kejohanan, pula dikejutkan dengan kekalahan apabila tumpas kepada pasangan bukan pilihan, Zhang Nan-Li Yinhui dari China, 12-21, 22-20, 15-21.
Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus bergu campuran kedua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang meneruskan saingan apabila mara ke separuh akhir.
Berdepan pilihan kelapan, Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika dari Indonesia beregu negara yang juga pilihan ketiga kejohanan itu, bagaimanapun berdepan tentangan sengit daripada pasangan, sebelum mencatat kemenangan 22-20, 24-22.
Dalam pada itu, pasangan bergu wanita pilihan kedua, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe We melakar kemenangan straight set untuk menang ke atas beregu Taiwan, Wen Hao Yun-Ye Jing Ya 21-15, 21-18.
Turut mengikuti jejak Vivian dan Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang berjaya mengalahkan satu lagi pasangan Taiwan, Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung 21-12, 21-14.
Manakala cabaran pemain perseorangan lelaki dan wanita negara berakhir selepas tumpas kepada lawan masing-masing.
Bekas pemain kebangsaan, Chong Wei Feng kalah 13-21, 17-21 kepada pemain pilihan keenam, Wang Tzu Wei dari Taiwan dalam acara perseorangan lelaki, manakala juara remaja dunia 2015 Goh Jin Wei tumpas kepada pilihan keenam, Chen Yufei dari China 14-21, 10-21 dalam acara perseorangan wanita.