Bergu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir Toyota Terbuka Thailand selepas ditunjukkan jalan keluarkan oleh gandingan India Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponappa.
Turun dengan status pilihan kelima Peng Soon-Liu Ying menjadi pilihan untuk mara ke separuh akhir dan ia tampak dilandasan apabila melakar kemenangan 21-18.
Namun keadaan bertukar di set kedua memihak Rankireddy dan Ashwini Ponappa apabila mempamer permainan yang lebih kemas untuk memerangkap Liu Ying serta Peng Soon menerusi permainan jaring dan smash kencang.
Gandingan India itu menang 24-22 di set kedua sekaligus memaksa pemenang ditentukan menerusi set penentuan.
Goh Liu Ying tampak semakin tertekan apabila terpaksa bermain dalam kesakitan yang dialami di bahagian belakang sekaligus memberi sedikit kelebihan kepada Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponappa.
Peng Soon-Liu Ying akur perjuangannya hanya sekadar di peringkat suku akhir apabila tewas 20-22 di set penentuan.
Turut sama tersingkir, bergu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen yang tewas kepada pilihan ketiga dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan Korea 13-21, 16-21.