Pengadil-pengadil tempatan perlu diberi peluang untuk membuktikan potensi mereka selaras penubuhan badan bebas pengadil, Profesional Match Official Malaysia (PMOM) tahun ini.
Malaysia Football League (MFL) sebagai badan bertanggungjawab menubuhkan PMOM, menggesa semua pihak memainkan peranan dalam mendukung pengadil-pengadil tempatan dengan memberikan pandangan membina dan bukannya mengkritik secara rambang.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata dia bimbang kritikan terhadap pengadil-pengadil tempatan memberikan kesan buruk khususnya daripada sudut psikologi tatkala ramai pihak mula mempertikaikan mutu pengadilan Liga Malaysia sejak saingan bermula pada awal bulan ini.
Justeru, Kevin berharap kesemua pihak termasuk pemain, pasukan, media dan peminat-peminat dapat memberikan input positif kepada pengadil tempatan terutama pengadil muda yang bakal menggalas harapan memperbaiki mutu pengadilan bola sepak negara dalam era profesional.
“Dalam minggu-minggu awal Liga Malaysia ini, ramai yang mengkritik (mutu pengadilan) dan apa yang kita dapat lihat momentum itu hadir daripada setiap pasukan yang cukup meneliti setiap keputusan para pengadil.
“Boleh dikatakan semua pihak menyumbangkan keraguan atau analisis lebih mendalam terhadap persembahan pengadil-pengadil kita. Jadi, kita kena faham bahawa ada di antara mereka ini akan dijadikan sebagai pengadil profesional.
“Jika kita menghancurkan keyakinan dan semangat mereka untuk menjadi pengadil profesional, kemungkinan ia akan memberi kesan pada masa akan datang dan disebabkan itu kita masih perlukan khidmat pengadil senior untuk dijadikan sebagai pengadil profesional juga.
“Apa yang merisaukan saya adalah dengan apa yang telah berlaku, ada di antara pengadil sukar untuk pulihkan keyakinan mereka disebabkan setiap langkah atau keputusan mereka semuanya menjadi pertikaian oleh semua pihak.
“Saya berharap mereka tidak akan sesekali patah semangat dan diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka menjadi pengadil profesional jika ditawarkan oleh Pengurus Besar PMOM nanti,” katanya.
Sementara itu, Kevin menegaskan MFL sedang berusaha keras untuk mendapatkan calon terbaik bagi mengisi tugas Pengurus Besar PMOM dalam misi memperbaiki mutu pengadilan negara.
“Pencarian Pengurus Besar PMOM sedang berjalan sebaik yang mungkin, kita tahu dengan situasi sekarang pelantikan itu perlu disegerakan namun kami perlu mendapatkan calon terbaik agar penubuhan PMOM ini dapat memberi impak yang cepat dan berkesan,” katanya. MUHD AIMAN