Pengalaman dua tahun lalu apabila terpaksa memilih haluan ke saingan Liga M3 bersama Batu Dua FC ekoran banyak memanaskan bangku simpanan semasa di Melaka menjadi asas di sebalik keputusan penjaga gol, Zamir Selamat yang memilih berhijrah dari Kuala Lumpur City FC ke UiTM FC pada pintu kedua perpindahan pemain.
Dia tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ apabila jarang bermain sepanjang musim ini yang menyebabkan kariernya kembali seperti dahulu dan mengharapkan UiTM FC bakal membuka ruang untuknya mendapat lebih banyak minit permainan.
Tidak menyalahkan KL City terhadap apa yang terjadi sambil memuji penjaga gol import, Kevin Mendoza, yang berada di tahap terbaik dan memberi sumbangan besar kepada pasukan, Zamir membuat keputusan itu kerana enggan mengambil risiko menunggu peluang untuk diturunkan.
“ Saya sudah lalui pengalaman sebegini iaitu pada antara tahun 2018, di mana karier saya terumbang-ambing apabila kurang minit bermain dan orang tidak nampak saya semasa di sana.
“ Mujur tindakan yang saya buat pada masa itu betul dan sekali lagi, situasi sama terjadi kali ini dan pengalaman yang lepas telah mengajar saya dalam membuat keputusan sebegini.
“ Biarpun mungkin ramai mengenali saya dan tidak dinafikan itu beri sedikit kelebihan namun jika tidak ada banyak minit permainan, semua itu tidak berguna dan ini antara perkara yang sering kali dikejar dalam tiap musim demi kelangsungan karier.
“ Umur penjaga gol seperti saya (32 tahun) sepatutnya sudah mampu kekal di sesuatu tempat dengan agak lama serta peluang bermain yang lebih banyak,saya harap keputusan saya kali ini tepat, ” katanya.
Nama Zamir begitu dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana merupakan antara produk awal pembentukan skuad Harimau Muda pada tahun 2008 selain pernah membarisi skuad Bawah 23 tahun negara.
Dia juga pernah beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), PKNS, Perak, Melaka dan Pulau Pinang sebelum ini selama sembilan tahun pembabitannya di Liga Malaysia.
Sementara itu, Zamir mengakui tidak kisah dengan situasi terkini UiTM yang menduduki tangga terakhir Liga Super, sebaliknya ada sebab tersendiri memilih ’The Lion Troops’.
Malah, dia sudah dapat menghidu keyakinan yang semakin meningkat di UiTM selepas kehadiran beberapa pemain import terbaharu seperti Joel Vinicius, Dennis Buschening, Kwon Yong-Hyun dan Ousmane Fane selain dua pemain tempatan, Alif Samsudin dan Hisyamudin Sha’ari.
“ Sebaik pintu perpindahan kedua pemain dibuka, ada beberapa pasukan yang mahukan khidmat saya namun UiTM menunjukkan kesungguhan kerana saya rasa boleh mendapat peluang untuk bermain.
“ Situasi itu membuatkan saya memilih UiTM, biarpun semua orang tahu UiTM kini berada di paling bawah sekali tetapi saya rasa boleh membantu kepada pasukan.
“ Sembilan perlawanan yang akan datang sememangnya kritikal kepada kami tetapi percaya UiTM mampu bangkit daripada situasi sekarang kerana banyak yang telah berubah.
“ Masa saya datang mula-mula, kebanyakan pemain di sini baharu ada setahun atau dua bermain di peringkat tertinggi dan sememangnya kehadiran pemain berpengalaman diperlukan bagi membantu mereka.
“ Elemen semangat dan memperbaiki sistem di dalam pasukan, menjadikan pemain berpengalaman sebenarnya penting kepada mana-mana pasukan dalam harungi saingan Liga Super, ” katanya.