pusat.media

Oleh Ku Mohd Lufti

2016_Sukma_Games_LogoSUKMA ke 18 yang berlangsung di Sarawak pastinya menjadi kenangan manis khususnya buat kontinjen Selangor yang muncul juara keseluruhan. Malah, ‘The Flying Youth’, Khairul Hafiz Jantan menyemarakkan lagi SUKMA 2016 apabila memadamkan rekod dalam acara olahraga, dan rekod ini mungkin akan bertahan untuk satu tempoh masa yang lama sebelum Raja Pecut baru dilahirkan.

Dari aspek kejohanan, SUKMA ke 18 berjaya mencapai objektifnya, namun cerita kurang manis tetap timbul dan media sering kali menjadi ‘mangsa’.
Pihak terbabit seakan akan tidak memahami tugas dan jadual harian bagi petugas petugas media yang datang untuk membuat liputan SUKMA di Sarawak. Antara masalah yang dihadapi oleh media gagal mendapatkan keputusan pertandingan seperti yang dijanjikan.

Malah, dikhabarkan, ada segelintir media yang terpaksa menghantar laporan harian di tepi jalan selepas perlawanan final bolasepak.
Ini kerana difahamkan pusat media di setiap venue ditutup pada jam 10 malam. Banyak lagi masalah yang dihadapi oleh petugas media samada cetak atau elektronik sepanjang berkampung di Sarawak untuk memastikan liputan menyeluruh untuk semua rakyat Malaysia.

Namun, senario yang timbul sedikit sebanyak memberi seribu persoalan, sejauh mana pihak penganjur benar benar peka dengan kemudahan untuk petugas media? Bukan soal untuk menunding jari atau menyalahkan mana mana pihak, tetapi penganjuran SUKMA bukan kali pertama, sudah pun berlangsung sejak SUKMA diperkenal pada 1986 di Kuala Lumpur.

Dua tahun dari sekarang, giliran Perak akan menjadi tuan rumah bagi SUKMA ke 19 pada 2018. Moga ada perkhabaran yang lebih positif kerana semua yang terlibat secara langsung atau tidak bukan sahaja bakal menentukan kelancaran, tetapi standard temasya itu sendiri.

- Advertisement -