Seorang pensyarah dari Institut Pendidikan Guru, Anita Yusof telah berjaya membuktikan bahawa beliau seorang berhati waja walaupun perwatakannya mempamerkan seorang wanita yang lembut. Nama Anita Yusof menjadi terkenal setelah berjaya melakukan pengembaraan solo secara bermotosikal mengelilingi dunia sejauh lebih 65,000km, merentasi 4 benua dan 40 negara. Beliau juga di nobatkan sebagai wanita muslim pertama yang berjaya melakukan pengembaraan sedemikian.
Pengembaraan yang diberi nama ‘Global Dream Ride 2016’ (GDR) melabuhkan tirai di Bukit Kayu Hitam Kedah bertepatan pada Hari Malaysia 16 September lalu. Rekod ini juga telah di sahkan oleh Malaysia Book Of Records. Sebelum GDR, beliau juga telah melakukan ‘solo ride’ yang lebih pendek antaranya Central Asia ‘Stans’ Solo Tour, Trans Borneo Solo Ride, Yunnan China Adv Ride, 5 Nations Ride dan Nepal Solo Ride. Setakat ini, Anita telah mengembara ke lebih 89 negara.
Sempena kejohanan Malaysian MotoGP 2016 di Litar Antarabangsa Sepang, Anita Yusof telah di lantik sebagai duta jenama barangan aksesori motorsikal terkenal dari Itali, GIVI.
“Barangan GIVI telah banyak membantu di dalam seluruh jelajah saya. Untuk perjalanan sejauh ini, ketahanan dan kekuatan boks atas dan samping sangat penting, GIVI memberi lebih dari keyakinan itu kepada saya”, kata Anita berhubung perlantikannya.
Pengarah Operasi Antarabangsa GIVI, Joseph Perucca memberitahu, “Anita Yusof memberi maklumbalas yang sangat berguna untuk penambahbaikan barangan kami. Beliau merupakan testimoni kami yang terbaik. Melantik beliau sebagai Duta Jenama GIVI adalah sesuatu yang bertepatan setelah beberapa tahun bekerjasama secara tidak rasmi”.
Majlis tandatangan Duta Jenama GIVI di sempurnakan oleh Hendrika Visenzi (Timbalan Presiden GIVI) dan On Hai Swee (Pengarah Urusan Givi Asia Sdn Bhd) serta disaksikan oleh Lucio Cecchinello (Pemilik Team MotoGP LCR).