Oleh Muhammad Aiman
Di sebalik kegagalan menoktahkan penantian mengucup pingat emas pertama kontijen negara dari Sukan Olimpik, atlet olimpik negara yang memenangi pingat di temasya sukan terbesar dunia itu menerima penghargaan berterusan dari pelbagai pihak di atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara.
Selain insentif dan ganjaran wang tunai yang pelbagai – sudah pun mencecah lebih RM1 juta setiap seorang bagi kejayaan membawa pulang empat perak dan satu gangsa – mereka turut menerima imbuhan berbentuk material seperti kereta, barangan eletrik dan lebih mewah sebuah rumah (sama ada pangsapuri, kondominium, rumah teres mahupun banglo).
Sebagai contoh Tan Wee Kiong dan Goh V Shem dijanjikan rumah bernilai lebih RM 1 juta di Lakepark Residence, Cheong Jun Hoong dihadiahkan pangsapuri bernilai RM320,000 oleh Kerajaan Perak manakala Goh Liu Ying menerima sebidang tanah lot pada harga premium.
Terbaru jaguh badminton negara juga pemain nombor satu dunia, Dato’ Lee Chong Wei turut menerima hadiah seunit kondominium dari Orando Holding Sdn Bhd bernilai RM1.5 juta yang terletak di tengah ibu kota di Lavile, Taman Maluri.
Chong Wei yang tewas buat kali ketiga di pentas final olimpik baru-baru ini, menerima hadiah itu dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada petang Jumaat.
Memang Rio 2016 adalah pencapaian terbaik negara di olimpik, pengorbanan dan keringat yang mereka curahkan sememangnya wajar dihargai, tidak timbul sebarang persoalan mengenainya tetapi dari sudut pandang berbeza selain Chong Wei, tidak dinafikan sambutan bagi atlet-atlet lain dilihat agak berlebihan.
Chong Wei mengabdikan diri selama lebih 15 tahun, kekal sebagai pemain badminton terbaik pernah disaksikan dunia untuk tempoh hampir sedekad dan mempunyai koleksi tiga pingat perak olimpik dalam simpanannya malah tidak keterlaluan untuk dikatakan sebagai atlet terbaik pernah mewarnai arena sukan tanah air.
Bagaimana dengan atlet lain? Justeru, andai pemenang pingat perak dan gangsa disanjung sebegini rupa, tidak mustahil pingat emas olimpik akan terus jauh dari gapaian atlet negara kerana sebutir gangsa sudah memadai untuk menjadikan mereka jutawan, mendapat pencen seumur hidup, serta kereta, rumah dan sebagainya.
Apa yang kita harapkan, sambutan yang mewah dan meriah ini tidak menjadikan atlet-atlet kita tenggelam sebaliknya menyuntik motivasi untuk mencari kejayaan lebih besar kerana pada hakikatnya sukan Malaysia masih jauh ketinggalan di belakang.
Pingat emas Tokyo 2020 menjadi sasaran tetapi secara jujur ianya sukar direalisasikan.