chong.wei

Oleh Muhammad Aiman

Jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei dipilih sebagai pembawa jalur gemilang pada temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang akan berlangsung pada Ogos depan.

Keputusan itu dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) setelah berakhir Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM, mengambil kira sumbangan serta pencapaian Chong Wei selama ini, selain mengharapkan agar ia menjadi suntikan semangat buat pemain nombor dua dunia itu untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara di temasya sukan terbesar dunia itu.

Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata, “Chong Wei sememangnya calon paling layak, dia adalah ikon sukan negara buat sekian lama. Kita memberikannya satu penghormatan dan harap dengan penghormatan yang diberi ini, menjadi suntikan semangat buatnya untuk memburu emas pertama buat negara.”

Nada sama dikongsi Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Norza Zakaria yang menyatakan keyakinan betapa penghormatan ini akan menginspirasikan Chong Wei yang akan beraksi di Sukan Olimpik buat kali keempat berturut-turut sejak membuat penampilan sulung di Athens  2004.

Apatah lagi, Olimpik Rio juga sudah pastinya menjadi penampilan olimpik terakhir Chong Wei yang kini sudah berusia 35 tahun – untuk rekod, Chong Wei menghadiahkan pingat perak di Bejing 2008 dan London 2012.

Chong Wei ketika ini berada di Jakarta untuk Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia dalam usahanya untuk kembali merampas kedudukan nombor satu dunia.

Setakat ini, 22 atlet telah pun mengesahkan tiket ke olimpik secara merit merangkumi sukan berbasikal, pelayaran, olahraga, badminton, renang, terjun dan memanah dengan sasaran pingat adalah menerusi Chong Wei, Azizulhasni Awang, serta Pandalela Renong yang menyumbang gangsa di London.

- Advertisement -