Oleh Muhammad Aiman
Pengunduran Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan sememangnya hadir sebagai satu kejutan besar buat peminat bolasepak tempatan, khususnya penyokong The Red Warriors sendiri, apatah lagi beliau sebelum ini telah mencanang pelbagai pembaharuan bagi menghadapi musim 2017.
Walaupun ada menyatakan sudah tidak lagi mampu memimpin KAFA terutamanya kerana kekangan kewangan baru-baru ini, tidak ramai yang mengambil serius perkara tersebut kerana pada hakikatnya Annuar dan kenyataan ‘mahu melepaskan jawatan’ bukanlah sesuatu yang baru.
Sejak beberapa tahun kebelakangan, kenyataan itu seringkali didendangkan terutamanya dengan menjadikan faktor kewangan dan ketidaksanggupan kerajaan negeri untuk membantu sebagai alasan sehingga ramai juga penyokong TRW sendiri ibarat naik bosan dengan skrip sama yang dianggap seolah-olah sekadar satu polemik politik semata-mata.
Malah ramai juga berpendapat arena bolasepak Kelantan inilah yang mengangkat ‘mileage’ politik Annuar sehingga dia dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan juga sebagai Ketua Perhubungan UMNO, justeru tidak mungkin Annuar akan melepaskan jawatan Presiden KAFA yang telah banyak membantu melonjakkan semula karier politiknya.
Menyentuh serba sedikit, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan KAFA pada 2007, jasa Annuar terhadap pembangunan bolasepak negeri Kelantan terlalu besar – beliau mengtransformasikan sebuah pasukan yang tidak pernah menang sebarang kejuaraan utama sebagai kuasa besar bolasepak tanah air dalam tempoh lima tahun apabila Kelantan muncul juara treble 2012.
Dalam tempoh itu, ramai nama-nama besar bolasepak tempatan datang menyarung jersi merah TRW antaranya Indra Putra Mahyuddin (masih lagi pemain TRW), Khalid Jamlus, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar dan S.Subramaniam manakala Annuar sendiri dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (kemudiannya digantung 30 bulan).
Pasca treble 2012, bermulalah episod kesukaran mengekalkan pemain tonggak kerana faktor kewangan tenat selain masalah tunggakan gaji, mendorong Annuar menyalahkan kerajaan negeri secara kerap dan berulang kali menyatakan mahu berundur tetapi tidak pernah berbuat demikian.
Hanya sekali iaitu pada penghujung 2013, Annuar melepaskan semua jawatan dalam bolasepak sama ada di KAFA mahupun FAM, itupun kerana penglibatannya dalam Jawatankuasa Program Pembangunan Bolasepak Negara mendapat bantahan FAM dan bukan disebabkan isu lain.
Annuar bagaimanapun kembali sebagai Presiden KAFA setelah menang tanpa bertanding di Kongres KAFA ke-60 pada November 2014.
Maka tidak hairanlah apabila ramai yang terkejut dengan tindakan drastik Annuar yang pada awalnya disangkakan sebagai satu lagi polemik – ada yang menyambut baik keputusan itu dengan mengatakan bahawa tiba masa untuk individu lain diberi peluang, ada juga yang menganggap wibawa Annuar masih lagi diperlukan dan tidak mungkin ada seorang pengganti setanding dengannya.
Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail mengakui keputusan Annuar meninggalkan TRW boleh memberi kesan besar kepada persiapan pasukan bagi menghadapi saingan musim baru apatah lagi ia berpotensi menjejaskan keyakinan pemain justeru beliau dan exco KAFA yang lain akan menemui Annuar bagi membincangkan masa depan dan halatuju pasukan dalam tempoh terdekat.
Dengan pelbagai lagi kemelut masih belum ditangani persatuan itu terutamanya membabitkan isu tunggakan gaji, pengunduran Annuar mungkin bersifat sementara dan beliau mungkin akan kembali untuk menjadi ‘hero’ yang menyelesaikan segala permasalahan di dalam KAFA, malah mungkin juga kembali dengan dana yang lebih besar.