Dengan berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) / (Kongress) Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kali ke-69, hari ini sekaligus menyaksikan pentadbiran bagi Ahli Lembaga Eksekutif Penggal 2023-2027 telah bermula secara rasmi.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Utama, Menara, PERKESO itu turut menyaksikan pemilihan bagi Ahli Lembaga Eksekutif penggal baru telah dijalankan dengan Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal diumumkan sebagai Presiden KHM bagi penggal ketiga berturut-turut selepas menang tanpa bertanding.

Jawatan Timbalan Presiden KHM Lelaki dan Wanita juga turut melihatkan kedua-dua calon tunggal Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak dan Datin Mary Sadiah Zainuddin diumumkan selaku penyandang jawatan tersebut secara rasmi.

Selain itu, Puan Rogayah Mohamed serta Cik Zaililah Md Tahir turut diumumkan sebagai penyandang jawatan Naib Presiden Wanita tanpa perlu bertanding selepas tiada sebarang calon lain mencabar jawatan tersebut.

Persaingan merebut jawatan Naib Presiden Lelaki dilihat hangat apabila salah satu calon, En. Ranjit Singh Gurdial Singh mengumumkan penarikan diri daripada bertanding pada saat-saat akhir sebelum proses undian bermula atas sebab-sebab tertentu.

Dengan penarikan diri itu, enam calon akhir bertanding bagi merebut lima tempat yang dipertaruhkan dan En. Shurizan Mansor, En. Hasnizam Hassan serta Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh berjaya mempertahankan jawatan mereka.

Selain itu, dua Ahli Eksekutif Bebas sebelum ini iaitu, En. Ganesan Shanmugam dan Dato’ Haji Mohd Saiyuti Abd Samat merupakan dua wajah baru yang menyandang jawatan Naib Presiden Lelaki.

Presiden KHM, Dato Sri’ Subahan Kamal dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang telah bertanding pada pemilihan penggal 2023-2027 dan berpendirian untuk kekal membentuk satu bekerjasama baik dengan setiap pihak sama ada yang bertanding dalam pemilihan kali ini ataupun tidak.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan negeri yang telah mencalonkan Presiden, Timbalan Presiden Lelaki dan Wanita serta dua Naib Presiden Wanita untuk menang tanpa bertanding.

“Dalam merebut jawatan yang dipertandingkan, pastinya ada yang menang dan kalah. Namun kami tetap memerlukan khidmat setiap daripada calon sama ada yang menang, yang kalah atau yang telah menarik diri dan ada tugasan-tugasan khas yang akan diberikan kepada semua.

“Apa yang ingin kami sampaikan adalah jawatan hanya jawatan tetapi yang lebih utama adalah tugasan atau tanggungjawab dan apa yang KHM mahukan adalah satu keluarga yang harmoni dan boleh bekerjasama untuk kami terus maju kehadapan.

“Cabaran yang akan datang pastinya lebih hebat, jadi di KHM kami memerlukan satu keluarga yang kuat, bersatu padu, bekerjasama. Untuk saya, pada hari ini, semua adalah pemenang kerana setiap daripada mereka telah melakukan tanggungjawab serta tugas masing-masing mengikut perlembagaan KHM.

“Saya akan mencari satu formular bagaimana untuk saya bekerjasama dengan semua pihak termasuk melantik mereka untuk memegang jawatan-jawatan tertentu yang ada di dalam KHM atau selaku Pengerusi bagi jawatankuasa yang akan saya fikirkan nanti,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.

Sejurus selepas tamat AGM KHM ke-69, Dato’ Sri Subahan Kamal telah mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif 2023/2027 Kali pertama dan telah melantik beberapa Pengerusi Jawatankuasa yang terlibat dengan penganjuran FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Kuala Lumpur, Malaysia dengan serta merta bagi memastikan penganjuran kejohanan tersebut dapat terus berjalan dengan lancar.

Antara Pengerusi Jawatankuasa yang telah dilantik serta merta ialah :

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan : Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan : Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh

Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan : En. Ranjit Singh Gurdial Singh

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan : En. Jadadish Chandra Bipin Chandra

Bendahari KHM : En. S. Selvendran

 

Berikut merupakan barisan Ahli Lembaga Eksekutif KHM bagi Penggal 2023-2027

Presiden : Dato’ Sri Subahan Kamal

Timbalan Presiden Lelaki : Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak

Timbalan Presiden Wanita : Datin Mary Sadiah Zainuddin

Naib Presiden Lelaki : En. Shurizan Mansor, En. Ganesan Shanmugam, Dato’ Haji Mohd Saiyuti Abd Samat, En. Hasnizam Hassan dan Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh

Naib Presiden Wanita : Puan Rogayah Mohamad dan Cik Zaililah Md Tahir

- Advertisement -