Oleh Ku Mohd Lufti
Status penyertaan jaguh badminton perseorangan dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei di Kejohanan All England Mac depan hanya akan diketahui selepas rawatan dan proses rehabilitasi berada di fasa akhir.
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan menjelaskan, Chong Wei masih berpeluang untuk beraksi di Siri Super Premier All England, bulan hadapan, namun memerlukan tempoh dua minggu bagi menentukan tahap kecergasannya.
Bermula minggu ini Chong Wei dijangka memulakan latihan di gelanggang selepas seminggu melakukan proses pemulihan akibat kecederaan MCL (medial collateral ligament).
“Saya rasa, kami memerlukan tempoh dua minggu lagi untuk membuat penilaian terhadap keadaan fizikalnya sebelum diputuskan sama ada akan ke All England atau tidak.
“Kalau ikutkan (Pakar Fisiologi) Sandra (Fielder), kecederaan Chong Wei boleh pulih sepenuhnya dari segi kecederaan.
Tambah Hendrawan yang ditemui ketika mengendalikan sesi latihan di Akademi Badminton Negara di Bukit Kiara hari ini, kecergasan fizikal Chong Wei juga perlu dinilai.
Perbincangan dengan Sandra juga akan dilakukan bagi membincangkan program yang sesuai untuk Chong Wei bagi mengelak sebarang kecederaan lain.
“Tetapi kita perlu lihat keadaan fizikalnya kerana dia sudah lama tidak menyertai kejohanan, diakui semangatnya memang ada namun paling penting tahap kecergasannya, kalau sudah sedia akan pergi jika tidak, dia tidak akan ke All England,”Katanya lagi.
Minggu lalu, Chong Wei mengalami kecederaan MCL selepas terjatuh semasa menjalani latihan akibat pelapik lantai yang licin.
Kecederaan itu menyaksikan pemain No.1 dunia itu berkemungkinan besar terlepas aksi All England yang akan berlangsung awal Mac ini.