quputeh

Oleh Muhammad Aiman

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Dato’ Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Vida silap besar jika menganggap arena bolasepak Kelantan sebagai tempat untuk melariskan jualan produk dan penyokong pasukan itu pula sebagai ‘pembeli’.  

Penaja utama pasukan The Red Warriors bagi musim 2016 itu baru-baru ini menyatakan bahawa dia tidak lagi ghairah sepertimana ketika mula-mula melibatkan diri dalam bola dan sudah tawar hati untuk meneruskan tajaan dek prestasi hambar pasukan itu.

Dalam masa sama Vida juga berterusan melabel penyokong sebagai punca kemerosotan jualan beberapa produk keluaran syarikatnya, di mana dalam satu kenyataan disiarkan media tempatan dia berkata, “Setiap kali saya taja mana-mana program, ia beri impak positif dari segi jualan dan saya boleh teruskan tajaan. Tapi berlainan dengan bola, nama naik tapi impak dari segi penjualan produk tidak ada.

“Saya sudah hasilkan jersi mengikut harga mampu milik, tapi penyokong lebih suka beli jersi ciplak, kemudian saya keluarkan air berharga RM4.80 tetapi penjualan tetap perlahan. Ini melemahkan semangat saya untuk teruskan tajaan, pelbagai perkara perlu diambil kira kerana wang tajaan bergantung kepada hasil penjualan produk.”

Kenyataan Vida itu bagaimanapun dianggap rata-rata pemerhati sukan dan juga penyokong bolasepak tempatan sebagai kurang matang malah rata-ratanya membidas jutawan kosmetik itu sebagai punca sebenar ‘produknya tidak laku’.

Pemerhati sukan, Faarhad Masraf Abdul Hamid berkata, “Nak buat apapun kena tinjau pasaran. Kalau produk dia tak laku jangan salahkan prestasi pasukan Kelantan atau penyokong Kelantan, mereka tiada kena mengena. Salahkan marketing team dia, atau ‘antics’ dia yang mungkin membuatkan orang meluat.

“Saya fikir dari segi airtime, publisiti dia dah melambung naik, dapat banyak liputan, dia patut bijak gunakan peluang airtime tersebut untuk buat orang suka dia dan produk dia bukannya sibuk menyalahkan prestasi pasukan, taktikal pasukan, benda-benda yang tak sepatutnya dia masuk campur yang mana pada pandangan saya membuatkan orang ramai meluat.”     

Manakala penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Pokyie Aye Serama pula berkata, “Vida perlu menyalahkan diri sendiri, jangan pandai-pandai kata penyokong sebagai punca barang dia tak laku. Dia datang sebagai penaja, patutnya duduk kat situ sebagai penaja. Ini tidak, dia pandai-pandai tukar jersi merah tradisi kepada warna pink, pandai-pandai buat jersi jenama sendiri.

“Penyokong nak jersi merah Nike, bukan jersi pink DSV. Suka-suka dia jer ubah elemen tradisi. Bukan semua penyokong jenis tak kisah warna pink, ungu, hitam atau kuning. Harga mampu milik sekalipun kalau tarikan tiada, kualiti tiada, siapa nak beli?

“Jersi ni bukan kita beli, pakai masa tengok bola sahaja. Tapi kita pakai ke mana-mana, Takkan kau nak aku beli gantung baju dalam almari? Jadi cermin dulu silap sendiri sebelum tuding jari kepada kami (penyokong).”

Antara komen lain, “Dia (Vida) buat air sampai RM5, lepas tu bising orang tak nak beli. Minuman kuat la, kecantikan la, dia ingat kami datang tengok bola ke datang cuba produk kesihatan dia. Kami masuk stadium pun kena beli tiket RM16, semua ni dia kena hadam dulu, tiada siapa nak beli air sampai RM5 atau 10 masa nak tengok bola. Tentang jersi, baik dia tanya diri sendiri sejauh mana kualiti jersi harga mampu milik tu.”

Bagi Sufian Rusli, penyokong TRW yang tidak pernah terlepas menyaksikan aksi pasukan itu di Lembah Klang, Negeri Sembilan atau Melaka, kenyataan Vida memperlihatkan betapa wanita itu baru mula berpijak di bumi nyata setelah sekian lama tenggelam dengan publisiti meluas dek penangan menjadi penaja utama Kelantan. 

“Masa mula-mula dulu lagi dah ramai cakap, dia otak bisnes, fokus bisnes jer, tidak perlu sibuk nak hulur kepala dalam semua benda. Bagi mereka yang arif jer uruskan tentang bola. Bola bukan tempat jual produk kecantikan sepertimana dia terlibat dalam macam-macam program hiburan sebelum ini. Dia tidak boleh samakan kedua-duanya.

“Ini tidak, datang sebagai penaja, sampai kan warna stadium pun dia pergi ubah, nampak kelakar pun ada. Masa tu dia ghairah lah sebab dapat publisiti meluas, melonjak-lonjak, dia ingat akan bantu jualan produk dia. Sekarang bila dah tahu bola dengan hiburan dua bidang jauh berbeza untuk mengembangkan perniagaan, mula lah dia meroyan salahkan penyokong. 

“Saya masih tidak nampak apa kaitan jualan merosot dengan kami sebagai penyokong dan juga prestasi pasukan. Prestasi pasukan biasalah akan ada naik turun, sudah ramai penaja datang dan pergi sebelum ini, pada saya kalau dia sudah tidak berminat, bincang dan undur sahaja, tidak perlu cari ‘kambing hitam’. Mencari ‘kambing hitam’ ni biasanya kerja (Tan Sri) Annuar Musa, Vida jangan jadi macam tu, nanti orang hilang rasa hormat.”

Untuk rekod, Vida Beauty melalui produknya Pamoga Qu Puteh menjadi penaja utama Kelantan bermula musim ini dengan jumlah tajaan dilaporkan bernilai RM16 juta bagi dua tahun setelah Persatuan Bolasepak Kelantan bersetuju dengan lebih 30 syarat yang ditetapkan.

Dengan Kelantan menamatkan musim ini tanpa sebarang piala – sekadar pusingan kedua Piala FA, suku akhir Piala Malaysia dan ketika ini di kedudukan keempat Liga Super yang disifatkan sebagai hambar, Vida memberi bayangan akan menamatkan tajaannya lebih awal.

- Advertisement -