Persatuan Bolasepak Kelantan digesa agar segera menangani perkembangan tidak sihat di kem pasukan itu di mana terdapat individu yg cuba mencampuri perihal pengurusan pasukan dan pemilihan pemain.
Individu tersebut sebelum ini pernah menjadi tumpuan kerana bersikap ‘lebih sudu dari kuah’ dan seolah mempunyai lesen besar membuat keputusan mengenai skuad Kelantan sekaligus menyebabkannya dilabel sebagai ‘tangan ghaib’.
Malah beliau yang mengakui dirinya sebagai penyokong tegar skuad Kelantan juga banyak mengeluarkan kenyataan mewakili pengurusan berhubung pengambilan pemain-pemain baru serta isu-isu lain.
Memburukkan keadaan, keharmonian di kalangan penyokong juga terjejas apabila individu tersebut secara terbuka menghentam mana-mana penyokong atau kelab penyokong yang mempersoal kehadirannya di dalam pengurusan dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu meredakan keadaan.
Meskipun menyedari hal ini, KAFA seolah tidak mempunyai kuasa untuk menyekatnya malah terus memberikannya ruang untuk terlibat di dalam pasukan. Terbaru, individu iti sekali lagi mencuri tumpuan apabila lantang mempersoalkan barisan pemain yg diturunkan Sathit Bensoh dalam aksi persahabatan menentang Kuantan FA, malah memberi amaran kepada jurulatih agar bersedia untuk dipecat.
Justeru penyokong setia TRW berharap Bibi Ramjani lebih tegas menangani hal ini dan khuatir ia akan merosakkan imej serta keharmonian dalam pasukan dan penyokong jika terus bersikap ‘tutup mata’ apatah lagi musim sudah hampir bermula. – OLEH MUHAMMAD AIMAN