Wakil penyokong yang hadir pada pertemuan meja bulat dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan menerima baik penjelasan yang diberikan terhadap beberapa isu membabitkan penjadualan liga serta jualan tiket kepada penyokong lawan.
Berdasarkan pandangan keseluruhan, mereka juga berpuas hati dengan cara MFL mampu menerima pandangan penyokong dan berharap akan ada penambahbaikan pada masa akan datang serta diadakan perjumpaan secara berkala bagi mengelakkan kekeliruan dengan penyokong jika terdapat apa-apa isu.
Selain itu, mereka turut mendapatkan ketetapan MFL terhadap wabak COVID-19 serta apa langkah telah dibuat bagi menghadapi penularan wabak itu yang dilihat semakin serius di negara ini serta seluruh dunia.
Menurut wakil penyokong Negeri Sembilan, Nasron Yasin, dia kini sudah memahami kenapa Unit Pertandingan MFL tidak dapat menyusun jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier sehingga penghujung musim ekoran beberapa kekangan membabitkan soal logistik.
Namun, dia dan penyokong lain tetap berharap akan ada langkah mampu diambil MFL pada masa depan agar memudahkan penyokong merancang perjalanan mereka lebih awal.
“ Perkara paling penting ditekankan oleh kami hari ini ialah tentang penyusunan jadual dan perkara ini selalu menjadi satu isu sejak dahulu lagi membabitkan penyokong dengan MFL.
“ Mereka selalu tertanya-tanya kenapa tidak disusun sehingga penghujung musim dan sekarang baharu kita faham selepas diberi penerangan oleh MFL.
“ Bagaimanapun, kami daripada wakil penyokong tetap berharap serta mendesak perkara ini dapat dilakukan iaitu penyusunan jadual liga sehingga penghujung musim bagi kemudahan kami di masa akan datang dan dalam aspek ini, kami hargai kesudian MFL mendengar pandangan kami, ” katanya.
Wakil penyokong Johor, Juan Budiman, menghargai cara MFL dalam menangani isu membabitkan Covid-19 yang telah menemui pihak Kementerian Kesihatan serta wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Dia juga memahami kesulitan yang akan dirasai MFL jika liga serta pertandingan lain ditangguhkan pada satu masa yang tidak pasti ekoran wabak COVID-19.
“ Saya nampak MFL telah bersikap proaktif dalam perkara ini apabila telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian serta pihak FAM dan AFC, jelas ada beberapa langkah telah diambil dalam isu ini bagi memastikan COVID-19 tidak tersebar terlalu meluas.
“ Cuma jika hendak ditangguh atau dihentikan, kena ada keseimbangan bagaimana impak terhadap industri bola sepak dalam menjana kewangan kepada pasukan-pasukan serta perkara lain yang perlu diberi perhatian, ” katanya.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira lebih dua jam itu, penyokong lain turut mengutarakan perkara seperti nilai komersial liga dan format pertandingan membabitkan penyertaan pasukan Reserve Team.