Selepas 10 musim beraksi dalam saingan Liga Super, Kelantan semakin hampir untuk tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan gara-gara keputusan seri tanpa jaringan menentang PKNS FC pada Rabu.
Ditambah pula Sarawak yang turut bergelut di zon penyingkiran berjaya mencatat kemenangan mengejut 4-2 ke atas Kedah, meletakkan situasi Kelantan ibarat ‘telur di hujung tanduk’, menduduki tangga kedua tercorot dengan 19 mata dan hanya ada satu pilihan – menang ke atas Melaka pada aksi terakhir untuk menyelamatkan diri.
Kegagalan Kelantan mengutip tiga mata walaupun bermain di tempat sendiri, tidaklah mengejutkan kerana bekas juara Liga Super itu sememangnya bergelut dengan prestasi dan tidak mempunyai rekod yang baik di Kota Bharu sepanjang musim ini.
Keputusan seri semalam melebarkan rekod tanpa menang mereka di Kota Bharu kepada 10 dari 11 perlawanan liga. Sebab utama yang membawa kepada kemerosotan prestasi mendadak skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu adalah tidak lain, tumpulnya sentuhan penyudah.
Dari sebuah pasukan yang berada di kedudukan lima teratas ketika pertengahan musim, Kelantan kemudiannya kehilangan momentum mereka apabila terpaksa membuat keputusan berat melepaskan penjaring terbanyak, Mohamed Ghaddar yang dipancing Johor Darul Takzim.
Tidak dinafikan, Ghaddar adalah nadi utama jentera serangan The Red Warriors. Prestasi pemain Lubnan itu cukup memuncak musim ini berbanding musim-musim sebelumnya apabila dia meledak sejumlah 18 jaringan dalam hanya 12 perlawanan pertama termasuk tiga kali hatrik – rekod jaringan yang tidak pernah dilakukan mana-mana pemain sebelum ini.
Kehilangan seorang pemain yang begitu menyerlah di depan gawang lawan secara tiba-tiba sudah tentu memberi impak besar justeru tidaklah menghairankan jika Zahasmi memberi alasan ketiadaan Ghaddar sebagai punca penyudah tumpul dalam tiga atau empat perlawanan berikutnya.
Namun, sebaliknya, 14 perlawanan berlalu termasuklah keputusan seri menentang PKNS semalam, kem Kelantan masih belum berganjak dari alasan sama – kehilangan Ghaddar punca pasukan tersungkur.
“Kami tidak ada pemain yang boleh menjaringkan gol berbanding awal musim, ketika itu kami mempunyai pemain import, Ghaddar di posisi serangan. Saya akui pasukan terkesan dengan kehilangan pemain itu dan terpaksa mengharungi baki perlawanan tanpa penyerang berkualiti yang boleh menjaringkan gol,” kata Zahasmi selepas aksi menentang PKNS.
Memalukan setelah 14 perlawanan berlalu (bukan tiga atau empat), seorang ketua jurulatih masih berpegang kepada alasan kehilangan Ghaddar dan menyatakan dari lebih kurang 30 pemain yang didaftarkan, pasukannya tidak mempunyai seorang pemain yang boleh disandarkan harapan meledak jaringan tanpa mahu mengakui kegagalan sendiri untuk mengetengahkan seorang penyerang baru bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Ghaddar.
Pasukan mempunyai tujuh atau lapan pemain boleh bermain di posisi offensif (serangan), apa fungsi Alessandro Celin atau pemain terbaik Liga Lubnan, Abou Bakr yang dicanang hebat ketika dibawa masuk. Malah Indra Putra Mahyuddin, Badhri Razi, Norfarhan Mohamad, Khairul Izuan Rosli semuanya lazim mencetak nama selaku penjaring sebelum ini, kenapa tidak gilap semula sentuhan mereka yang mungkin sudah sedikit berkarat? Bukankah itu satu daripada tugas barisan kejurulatihan? Tetapi anda memilih memberi alasan – Ghaddar.
Fakhrul Zaman Zawawi, pemain muda yang begitu menyerlah dalam saingan Piala Presiden. Muncul sebagai penjaring terbanyak selama dua musim, diserap ke skuad senior sekadar untuk memanaskan bangku simpanan. Akhirnya dipinjamkan ke pasukan tangga tercorot yang terpalit isu rasuah, MISC MIFA. Bila pasukan tiada penyerang berkualiti, alasannya Ghaddar.
Lebih dari itu, tugas menjaringkan gol bukan semata-mata dipikul oleh pemain di barisan serangan, siapa sahaja boleh menjaringkan gol. Pada 2012, Badri (tengah)adalah salah seorang penjaring terbanyak Kelantan.
Apa yang jelas terlihat kini, pasukan bermain tanpa visi, tanpa idea, tanpa halatuju sehinggakan penyokong setia sendiri tawar hati memberi sokongan. Apabila tewas, jawapannya Ghaddar.
Wajarkah kehilangan Ghaddar terus diratapi dan dijadikan alasan pada ketika barisan kejurulatihan yang bijak seharusnya berupaya menampung kekosongan itu? Penyokong yang bijak seharusnya boleh menilai. Kelantan mempunyai himpunan pemain berbakat besar dan berkualiti tinggi, namun tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.
Sikap menutup kekhilafan sendiri dengan memberi alasan ‘Ghaddar’ perlu dihentikan, lihat dan kaji di mana silap, bangkit semula. Bermainlah dengan semangat dan visi, manfaatkan kelebihan pemain dan pelbagaikan taktikal bagi mencari idea, sentuhan penyudah akan datang dengan sendiri tanpa mengharapkan penyerang yang bagus. – OLEH MUHAMMAD AIMAN