perak.celebrates

Oleh Muhammad Aiman

Persiapan Perak untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2017 menerima tamparan awal apabila bakal mengharungi tiga perlawanan pertama di gelanggang sendiri tanpa kehadiran penyokong.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bertanggungjawab terhadap insiden kekecohan dan rusuhan penyokong yang tercetus ketika pertemuan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Takzim pada 6 Ogos lalu.

PAFA yang disabitkan dengan dua pertuduhan iaitu tanggungjawab kelakuan penonton (pertuduhan pertama) dan kegagalan mematuhi prosedur penganjuran perlawanan sehingga mendatangkan kecederaan (pertuduhan kedua) di mana kedua-duanya adalah kesalahan berulang, turut dikenakan denda berjumlah keseluruhan RM47,500.

“Bagi pertuduhan pertama, PAFA didenda RM10,000 manakala bagi pertuduhan kedua didenda RM37,500 dan bermain tiga perlawanan rasmi seterusnya tanpa penonton,” menurut kenyataan dari Dato’ Kang Hwee Gee, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib.

Selain PAFA, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) turut dikenakan denda keseluruhan RM30,000 bagi dua pertuduhan membabitkan perlawanan dan insiden sama.

“Tindakan penyokong JDT yang telah membaling botol minuman ke arah penyokong Perak, merosakkan papan iklan, mencederakan jurugambar (pertuduhan pertama), menyanyikan lagu yang menghina pasukan Perak (pertuduhan kedua). PBNJ didenda RM15,000 bagi pertuduhan pertama, dan RM15,000 bagi pertuduhan kedua,” menurut kenyataan itu lagi.

Kedua-dua PAFA dan PBNJ turut diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya kesalahan sama berulang, namun masing-masing dibenarkan untuk membuat rayuan kepada FAM.

Pada perlawanan di Stadium Ipoh itu, JDT menewaskan Perak 1-0 menerusi jaringan tunggal Jorge Pereyra Diaz namun perlawanan kemudiannya dicemari dengan insiden kekecohan yang bermula dari tindakan provokasi penyokong kedua-dua pasukan.

- Advertisement -