Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) telah mengemukakan permohonan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar lima pemainnya yang disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe bagi menjalani latihan pusat kem kebangsaan bermula 8 Oktober ini diberi pengecualian.
Lima pemain tersebut adalah penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan, D. Kenny Palraj (gambar utama) dan juga Norhakim Hassan.
Cheng Hoe yang sedang mempersiapkan skuad untuk menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 bulan depan menyenaraikan pemain-pemain ini bersama 19 pemain lain bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober dan Kyrgyzstan pada 16 Oktober di Kuala Lumpur.
Menurut Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, antara sebab utama mereka mahu memohon pengecualian tersebut adalah mengelakkan pemain-pemain utama mengalami kecederaan pada ketika aksi getir menentang Sabah dalam perlawanan timbal balik separuh akhir Piala Malaysia sedang menanti pada 21 Oktober nanti.
“Kita akan hantar surat kepada FAM tetapi itu bukanlah bermakna kita tidak bagi pemain Perak untuk mewakili negara, cuma kita tidak mahu lihat lagi ada pemain kita mengalami kecederaan kerana terlibat dengan tugasan antarabangsa.
“Sebelum ini kita sudah kehilangan Nasir (Basharudin) yang cedera ketika lawan Kemboja bulan lalu, jadi kita tidak mahu senarai kecederaan bertambah kerana kita masih ada perlawanan untuk diharungi, jadi kita amatlah mengharapkan kerjasama dari FAM,” kata Hasnul.
Sebagai rekod, Perak menyingkirkan PKNS FC di peringkat suku akhir Piala Malaysia dan akan menentang Sabah dalam aksi separuh akhir pertama pada Ahad ini dan mereka memerlukan skuad terbaik untuk merealisasikan hasrat melangkah ke final buat kali pertama sejak 2007. – OLEH MUHAMMAD AIMAN