Oleh Muhammad Aiman
Perak mencuri tumpuan dalam aksi minggu kelima Liga Super apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan Johor Darul Takzim di Stadium Negeri, Ipoh.
Ia sekaligus menghadiahkan kekalahan pertama selepas 24 perlawanan liga kepada skuad Harimau Selatan itu yang kali terakhir tewas kepada Felda United dalam aksi terakhir Liga Super musim 2015.
Beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong sendiri, Perak bimbingan Karl Heinz Weigang tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi percubaan Yashir Pinto pada minit kelapan namun JDT mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri hanya dua minit kemudian.
Meskipun saling berbalas serangan, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan selepas itu sehinggalah Vladislav Mirchev yang tidak dikawal menolak masuk bola di depan gawang terbuka untuk gol kemenangan yang cukup bersejarah buat Perak sekaligus bangkit memadam igauan buruk kecundang 0-3 kepada PKNS FC minggu lalu.
Kemenangan membolehkan Perak kembali ke tangga ketiga dengan 10 mata dari lima perlawanan, hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pasukan tangga kedua Pahang dan satu mata di belakang pendahulu, Kedah.
Dalam aksi berlangsung di Kota Bharu, Kedah kekal menerajui liga setelah menewaskan tuan rumah Kelantan 1-0, menerusi jaringan tunggal sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.
Kekalahan JDT dan Kelantan bermakna, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kekal sebagai satu-satunya pasukan belum tewas dalam saingan musim ini.
Pahang pula kekal di tangga kedua apabila berpesta gol dengan membelasah Pulau Pinang 6-1 di Stadium Darulmakmur. Skuad bimbingan Dollah Salleh menjaringkan dua gol di separuh masa pertama menerusi Mohamadou Sumareh dan Wan Zaharulnizam Zakaria dan menambah empat jaringan di babak kedua menerusi Joseph Kalang Tie, Matheu Alves dan dua jaringan Ashaari Samsudin.
Dalam pada itu, PKNS FC pula bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat T-Team 2-2 di Kuala Terengganu, terima kasih kepada jaringan sendiri pemain T-Team, Mamadou Samassa yang tertampan bola lontaran ke dalam Matias Hadwa pada minit akhir perlawanan.
T-Team mendahului sebelum itu menerusi jaringan Samassa pada minit kelapan dan Farhod Tadjiev pada minit ke-45, manakala gol pertama PKNS dijaringkan Khairul Ramadhan pada minit ke-78.
Di Kuching, Melaka United melakar kemenangan pertama dengan menundukkan tuan rumah, Sarawak 1-0 hasil jaringan tunggal Jeon Woo Young.