Perak melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2018 setelah menewaskan PKNS FC 2-0 dalam aksi di Stadium Shah Alam pada Ahad.
Ini adalah kali kedua berturut-turut skuad Mehmet Durakovic berada di kelompok empat terbaik, terima kasih kepada dua jaringan pemain import Wander Luiz Bittencourt Junior pada minit ke-23 dan 57.
Kekalahan buat PKNS pula meranapkan impian Datuk K.Rajagobal untuk pertama kali membimbing pasukan bermain di perlawanan akhir. Dalam tempoh hampir tiga dekad bergelar jurulatih, pencapaian terbaik Rajagobal hanyalah separuh akhir bersama Selangor (2000) dan Kelantan (2001).
Musim ini dilihat peluang terbaik untuk beliau menamatkan penantian panjang itu kerana sekiranya berjaya melepasi halangan Perak di suku akhir, laluan untuk ke final dilihat lebih cerah kerana yang menunggu di separuh akhir nanti adalah Sabah namun sayang sekali peluang itu gagal dimanfaatkan.
PKNS juga menamatkan aksi dengan 10 pemain setelah penyerang muda, Jafri Firdaus Chew dilayangkan kad merah pada minit ke-80.
“Kita tidak bermain permainan sebenar kita pada babak pertama dan banyak hilang bola, Perak pula bermain agresif dan selepas menjaringkan gol pertama angkara kesilapan mudah mereka menjadi lebih yakin. Hanya di separuh masa kedua kita bermain lebih baik dan cuba mencipta peluang, tetapi sekali lagi kita melepaskan gol yang mana saya fikir itulah yang membunuh kebangkitan kita.
“Pemain-pemain sebenarnya tidak berputus asa, mereka cuba untuk menyerang dan menyerang tetapi kita juga akui Perak bertahan dengan baik. Ianya menjadi lebih sukar apabila kita sudah kehilangan seorang pemain di barisan depan,” kata Rajagobal. MUHD AIMANÂ