Perak menghadiahkan Selangor kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super setelah melakar kemenangan 3-0 ke atas seteru tradisi itu di Stadium Lumut.
Ketiga-tiga gol buat skuad bimbingan Mehmet Durakovic dijaringkan di separuh masa pertama bermula dengan jaringan sendiri pemain pertahanan Selangor Ashmawi Yakin pada minit ke-20 disusuli jaringan Kenny Palraj pada minit ke-30 dan Gilmar da Silva pada minit ke-45.
Dengan kemenangan ini Perak melonjak ke tangga ke tangga keenam dengan tujuh mata manakala Selangor tergelincir ke tangga kelapan.
Dalam satu lagi aksi yang berlangsung Ahad, dua jaringan Yahor Zubovich membantu Melaka United menewaskan PKNP FC 2-0 di Stadium Hang Jebat. Ia adalah jaringan ketujuh dalam semua pertandingan buat pemain Mexico itu musim ini.
Tiga mata yang diraih membantu skuad bimbingan Eduardo Almeida melonjak ke kelompok empat teratas dengan sembilan mata sementara PKNP FC pula berada di tangga kesepuluh.
Sementara itu, aksi yang berlangsung Sabtu menyaksikan Johor Darul Takzim kembali merampas kedudukan pendahulu Liga Super setelah mencatat kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC di Kuala Terengganu. Ia adalah kemenangan yang sangat diperlukan harimau selatan setelah melalui detik sukar sejak beberapa minggu lalu.
Kemenangan keempat dari lima perlawanan membolehkan JDT menerajui liga dengan 12 mata, manakala bagi Terengganu ia adalah kekalahan pertama mereka musim ini.
Pahang melonjak ke tangga kedua dengan membelasah Negeri Sembilan 4-0 di Stadium Darulmakmur menerusi dua jaringan masing-masing oleh Patrik Cruz dan Francis Forkey Doe.
Kuala Lumpur pula menjadikan Kedah sebagai mangsa kedua mereka musim ini setelah bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk mencatat kemenangan 4-3 – terima kasih kepada jaringan minit kelima masa kecederaan oleh Ashri Chuchu.
Perlawanan di Stadium KLFA menyaksikan Zaquan Adha membuka jaringan buat tuan rumah seawal minit ketiga namun diikat 1-1 oleh Pablo Pallares tiga minit kemudian. Liridon Krasniqi kemudian meletakkan Kedah di depan sebelum Guilherme De Paula mengikat kedudukan 2-2 menerusi sepakan penalti.
Paolo Josue menjaringkan gol ketiga Kuala Lumpur pada minit ke-82 dan Kedah menjangkakan mereka sudah berjaya mencuri satu mata apabila berjaya mengikat kedudukan 3-3 menerusi jaringan Pallares pada minit pertama masa kecederaan sebelum mereka dikecewakan jaringan Ashri. – OLEH MUHAMMAD AIMAN