Pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim mencicirkan mata buat pertama kali selepas tujuh perlawanan setelah seri 2-2 menentang Selangor tetapi pencabar terdekat, Perak gagal memanfaatkan situasi itu apabila turut gagal meraih mata penuh di gelanggang sendiri.
Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, penyerang yang baru direkrut Harry Novillo menyelamatkan satu mata buat harimau selatan setelah jaringannya pada minit ke-67 berjaya mengikat Selangor 2-2.
JDT bimbingan Raul Longhi mendahului seawal minit kedua menerusi sentuhan Gonzalo Cabrera namun dua gol pantas Saiful Ridzuwan Selamat dan Rufino Segovia pada minit ke-14 dan 16 memberikan Selangor kelebihan 2-1 di separuh masa pertama.
Ini kali kedua JDT cicirkan mata musim ini dan ironinya ia berlaku di gelanggang yang sama ini apabila mereka kecundang 0-1 kepada Kuala Lumpur. Mereka bagaimanapun kekal mendahului liga dengan 25 mata.
Sementara itu, Perak terlepas peluang mengurangkan jurang mata apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Melaka United di Ipoh.
Setelah menang lima aksi terakhir, akuad Mehmet Durakovic dilihat berupaya menjinakkan Melaka yang tidak berada pada prestasi yang baik namun barisan serangan diterajui Gilmar Silva gagal menjaringkan gol buat pertama kali selepas 11 perlawanan.
Ini turut dibantu aksi tangkas penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat yang membuat penampilan sulung di gawang Melaka pada Sabtu, sekaligus berjaya membantu sang kancil mengutip mata pertama selepas lima perlawanan.
Perak kekal di tangga kedua dengan 20 mata manakala Melaka kekal di tangga kesepuluh dengan 10 mata.
Terdahulu pada Jumaat, pasukan tangga ketiga Pahang turut gagal mengutip mata penuh apabila tewas 0-1 kepada Terengganu menerusi jaringan Faiz Nasir manakala Kelantan terus dirundung nasib malang apabila tewas buat kali ketujuh musim ini, kali ini 1-2 kepada PKNP FC. –Â OLEH MUHAMMAD AIMANÂ