Oleh Muhammad Aiman
Sebagai memperkasakan semula arena golf negara yang semakin suram, Persatuan Golf Malaysia (MGA) melancarkan Program GoGolf – sebuah program dirangka khas bagi memupuk minat lebih ramai anak muda terhadap sukan itu dalam masa sama mengetengahkan bakat-bakat baru sama ada untuk bergiat secara riadah mahupun kompetitif.
Presiden MGA, Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar Mohd Nor berkata, “Kita telah mengilhamkan idea mengenai program ini sejak dua tahun lalu, dan telah bekerja keras mendapatkan kerjasama taktikal dengan kapasiti untuk menyuntik bantuan bernilai serta kewangan bagi membolehkan MGA mempergiat usaha menarik minat ramai terlibat dengan golf.”
Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohammad di The Mines, Seri Kembangan pada Selasa, disaksikan Mohd Anwar serta rakan penaja terdiri daripada Zurich Insurance Malaysia Berhad (ZIMB), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Finexus Group.
Pemain golf nombor satu negara, Danny Chia pula hadir menyempurnakan gimik pelancaran yang kemudiannya disusuli dengan tee-off membabitkan Danny, Nik Abdul Kadir, Tan Sri Anwar, Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar dan Presiden ZIMB David Fike.
Tambah Tan Sri Anwar, “Ianya sentiasa menjadi keutamaan MGA untuk memastikan arena golf tanah air berkembang positif selaras peredaran masa. Gogolf adalah terjemahan kepada hasrat itu, mengtransformasikan dan menjadikan ianya sukan kegemaran rakyat Malaysia.”
Antara manfaat program GoGolf yang terbuka kepada pemain profesional, amatur dan juga pemula termasuklah status handicap sementara segera bagi pemain bukan NHS dengan akses untuk bermain di lebih 100 lapangan golf, penyertaan di kejohanan antara kelab, program ganjaran kesetiaan, diskaun terhadap kadar pembelajaran golf profesional, akses kepada fasiliti ahli kelab dan banyak lagi.