Oleh Muhammad Aiman
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Kuantan Rangers membuka tirai aksi di Liga Futsal Brunei (LFB) sekaligus menandakan kehadiran mereka di pentas yang lebih tinggi, pentas antarabangsa.Â
Lawan yang akan ditentang, bukan calang-calang – Kota Junior FC – juara bertahan yang membariskan ramai pemain dan bekas pemain kebangsaan Brunei justeru sudah tentunya satu aksi sukar dapat dijangka.
Beraksi buat pertama kali di pertandingan besar, tidak menghalang Presiden Kuantan Rangers, YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah untuk meletakkan sasaran tinggi.
Apatah lagi pasukan itu telah menjalani fasa latihan berintensiti tinggi dan turut didedahkan dengan deretan perlawanan persahabatan berkualiti bagi membantu persiapan mereka.
Bagi Tengku Fahad, segala persiapan rapi ini bukan sahaja kerana mahu Kuantan Rangers menyerlah membuktikan kredibiliti di LFB, tetapi dalam masa sama bagi memperkasakan pembangunan pemain yang sentiasa menjadi aspek diberi penekanan.
Beliau menjadikan pencapaian serta peningkatan ditunjukkan pasukan futsal kebangsaan Iran sebagai contoh yang terbaik untuk diikuti.
“Aksi persahabatan bagi saya satu cara mengembangkan kelab dan pemain. Aspek asas kelab ini adalah sentiasa belajar dan sentiasa maju ke depan. Kita tidak boleh leka atau malas, jika tidak pembangunan akan terencat.
“Jadi kami mahu mencabar pemain kami, aksi persahabatan yang kami atur kebanyakannya menentang pasukan yang bermain di Liga Futsal Kebangsaan, serta pasukan lebih kuat dan lebih dikenali. Kami sentiasa mencabar diri kami, dan saya rasa melalui falsafah ini kami menjadi bertambah baik.
“Falsafah inilah yang jelas dalam pembangunan pasukan kebangsaan Iran. Mereka kerap bermain menentang Brazil dan pasukan besar yang lain. Ia memang mengambil masa, tetapi selepas beberapa ketika mereka tidak lagi terlalu mengagumi bintang-bintang Brazil itu dan mereka sedar tahap Brazil bukan lagi untuk disamai, tetapi untuk diatasi.
“Tahun lepas Iran menewaskan Brazil di futsal Piala Dunia 2016 untuk menduduki tempat ketiga. Ini adalah falsafah yang kami mahu turuti, untuk sentiasa mencabar diri menentang pasukan yang lebih baik,” ujar Tengku Fahad.  Â
Untuk rekod, LFB akan berlangsung dari April sehingga November depan membabitkan 10 pasukan termasuk dua pasukan jemputan dari Malaysia. Satu lagi pasukan dari Malaysia adalah wakil Sarawak, Miri FA. Â
Tengku Fahad berpendapat pasukan itu cukup bertuah untuk beroleh peluang mencabar pasukan terbaik di Brunei untuk tempoh tujuh bulan berikutnya dan percaya penyertaan di LFB itu sendiri satu daripada proses yang akan menjadikan barisan pemainnya bertambah matang.
“Saya tahu pemain saya akan memanfaatkan sebaiknya pengalaman yang mereka ada. Saya memberitahu pemain saya untuk bermain dengan semangat tinggi dan tidak tunduk kepada tekanan. Memang akan ada rasa gementar tetapi gementar ini seharusnya mengujakan mereka.
“Saya pesan kepada mereka untuk serlahkan potensi dan buatkan penyokong terhibur. Tiada siapa yang mahu menonton perlawanan yang membosankan. Tiada ragu LFB akan menjadi sangat kompetitif dan menarik, jadi kami tidak sabar untuk bermula dan merasai pengalaman baru ini,” katanya.
Kuantan Rangers akan berlepas ke Brunei pada awal pagi 14 April dengan aksi pertama menentang Kota Junior FC dijadual berlangsung pada 15 April.