Oleh Muhammad Aiman
Aksi Liga Super membabitkan Kelantan dan Melaka United yang dijadual berlangsung malam ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu terpaksa ditunda ke satu tarikh yang lain.
Perkara itu disahkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dalam satu kenyataan sebentar tadi yang menjelaskan keputusan itu dibuat berikutan cuaca buruk serta permukaan padang yang tidak sesuai untuk perlawanan dilangsungkan.
“Laporan komisioner perlawanan mengatakan 80 peratus permukaan padang ditakungi air yang mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan. Justeru pengurusan kedua-dua pasukan bersetuju untuk perlawanan ditunda.”
Perlawanan itu sepatutnya menjadi aksi pertama bagi kedua-dua pasukan bagi kempen Liga Super musim ini justeru dengan penundaan ini bermakna mereka perlu menanti lebih lama, sehingga ke 28 Januari depan untuk sepak mula musim 2017.
Ia juga merupakan perlawanan ketiga di pantai timur yang ditunda pada minggu ini – terdahulu pada Jumaat, dua aksi 100 Plus Liga Premier membabitkan Terengganu menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak di Gong Badak dan Kuantan FA menentang Uitm FC di Darulmakmur terpaksa ditunda berikutan masalah sama.