Oleh Ku Mohd Lufti
Jelajah Oceania yang dilakukan oleh skuad Harimau Malaysia mengundang persoalan apabila perlawanan diantara skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dan New Caledonia pada 22 Jun lalu tidak dikktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa, FIFA.
Malaysia melakar kemenangan ke atas New Caledonia 2-1 pada perlawanan kedua siri jelajah Oceania di Stadium Numa – Daly Magenta.
Laman rasmi FIFA hanya memaparkan keputusan perlawanan antarabangsa diantara Papua New Guinea (17 Jun) dan Fiji (25 Jun) sahaja.
Malaysia mengharungi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa sepanjang siri jelajah Oceania, menentang Papua New Guinea, New Caledonia dam diakhiri dengan Fiji.
Perlawanan menentang Papua New Guinea, Malaysia tewas 0-2, namun bangkit dengan kemenangan 2-1 ke atas New Caledonia sebelum mengakhiri jelajah Oceania dengan keputusan seri ke atas Fiji.
Antara matlamat bagi jelajah Oceania ini adalah untuk memperbaiki ranking Malaysia yang kini di tangga ke 173 dunia selain persiapan untuk mengharungi Piala AFF dan kelayakan Piala Asia 2019.
Malaysia telahpun mengatur tiga lagi aksi persahabatan pada bulan September dan Oktober depan.