Pentas aksi persahabatan dilihat menjadi platform paling sesuai buat semua pasukan mempelajari serta memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) berhubung operasi perlawanan.
Perkara itu diluahkan pemain tengah Selangor, Brendan Gan, yang berasakan selain menjadi medan buat pemain mendapatkan kembali kecergasan, situasi ini sepatutnya digunakan pemain untuk membiasakan dengan norma baharu bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.
Melalui beberapa lagi perlawanan persahabatan yang akan diaturkan selepas ini, Brendan yakin pada aksi sepak bermula pada 26 Ogos, semua pegawai dan pemain tidak lagi perlu berasa kekok terhadap semua peraturan yang telah ditetapkan.
“ Objektif perlawanan persahabatan ini sememangnya cukup penting kepada semua pemain bagi mempelajari SOP sebelum, semasa dan selepas bermulanya sesuatu perlawanan.
“ Kehadiran pengawai penyelaras memudahkan lagi pemahaman kami yang menerangkan apa perkara yang boleh dan tidak boleh kami lakukan bagi mengikut segala SOP ditetapkan.
“ Bukan sahaja pemain namun sesiapa sahaja yang hadir ke stadium perlu mengikuti SOP yang diminta walaupun perlawanan akan dilangsungkan secara tertutup, “ katanya.
Ketua pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim juga senada dengan Brendan yang berkata, demi memastikan kelangsungan bola sepak tempatan terutama di saingan Liga Malaysia, mereka bersedia mengikut apa sahaja perkara diarahkan pihak berkuasa.
Dia menjelaskan segala SOP yang ditetapkan tidak menghalang semangat setiap pemain sebaliknya melihat itu sebagai satu tangungjawab bersama pemain serta pegawai dalam membendung penularan pandemik Covid-19.
“ Untuk mengamalkan norma baharu seperti ini, sudah pasti akan makan masa sikit dan rasa janggal pada mulanya bagi kita ikuti semua perkara yang diarahkan.
“ Saya ada tengok juga beberapa liga yang lain di seluruh dunia seperti EPL (Liga Perdana Inggeris), dan Serie A mengenai cara mereka amalkan SOP sebelum perlawanan.
“ Banyak juga kejanggalan di situ tambah-tambah tiada penyokong malah ada yang stadium sunyi sepi tetapi pematuhan SOP perlu kita ikuti demi kebaikan semua pihak, “ katanya.
MFL membenarkan semua pasukan mengadakan perlawanan persahabatan sejak 2 Ogos lalu.
Antara SOP yang ditetapkan MFL bagi operasi perlawanan ialah tiada upacara bersalam sebelum dan selepas perlawanan, perkongsian sebarang peralatan peribadi tidak dibenarkan dan pemain simpanan perlu ditempatkan di tempat duduk penonton dengan mematuhi penjarakan sosial 1 meter serta memakai pelitup muka.