Perlawanan persahabatan yang dinanti-nantikan antara pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspurs dan Leicester City di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok telah dibatalkan kerana padang yang dilanda air.
Satu kenyataan dari Spurs: “Perlawanan persahabatan malam ini menentang Leicester City telah dibatalkan kerana padang yang becak dan keadaan cuaca yang buruk.
“Penganjur acara, berdasarkan cadangan daripada pegawai perlawanan, menganggap padang itu tidak boleh dimainkan dan tidak selamat berikutan hujan lebat di Bangkok.”
Kakitangan stadium dilihat cuba sedaya upaya untuk membersihkan padang daripada air bertakung, tetapi tidak berjaya.
Leicester mahu bermain perlawanan persahabatan itu di hadapan pemilik kelab Aiyawatt Srivaddhanaprabha di Bangkok, tetapi kini akan mengalihkan perhatian mereka untuk bermain Liverpool di Singapura minggu depan.
Spurs juga akan berada di Singapura di mana mereka akan menentang pasukan Liga S, Lion City Sailors pada hari Rabu.