Persatuan Bolasepak Perlis diberi tujuh hari untuk mengemukakan rayuan selepas penyertaan mereka dalam kempen Liga Malaysia musim ini dibatalkan Malaysia Football League (MFL) gara gara tidak memiliki kewangan kukuh untuk mengharungi musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata permohonan rayuan itu adalah proses normal selepas sesuatu hukuman telah dibuat.
âKami telah memberikan tempoh tujuh hari kepada PFA walaupun kebiasannya adalah 14 hari tempoh rayuan bagi urusan pentadbiran tetapi memandangkan ia satu kes serius, kami memberikan tujuh hari sahaja.
âBagi saya sudah tentu jika apa-apa keputusan yang diputuskan kepada mana-mana pihak, mereka akan cuba sedaya upaya untuk membuat rayuan. Dalam kes ini jika satu rayuan mahu dibuat, ia harus memiliki alasan cukup kukuh untuk kita ambil kira sebelum keputusan rayuan dibuat.
âWakil PFA datang hari ini (Khamis) untuk lebih memahami apa yang telah dipertimbangkan dalam keputusan itu dan saya telah membuat penerangan yang mana mereka akan mengadakan mesyuarat bersama Exco PFA bagi mendapatkan tindakan susulan selepas mendapat penjelasan ini daripada pihak MFL.
âBuat masa ini, pihak MFL berharap apa-apa perancangan mereka di masa depan akan berjaya dan pemain-pemain akan mendapat pasukan baharu selepas MFL turut memberi mereka tambahan 30 hari mencari pasukan lain,â kata Kevin selepas pertemuan dengan wakil PFA pada Khamis.
Kevin bagaimanapun menegaskan keputusan rayuan PFA itu sama ada berjaya atau tidak bergantung sepenuhnya kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL.
âLembaga Pengarah MFL yang membuat keputusan ini, bukannya sekretariat dan jadi saya tidak berkata satu keputusan itu akan bertukar selagi Lembaga Pengarah tidak menukar sesuatu keputusan. Buat masa ini keputusan yang telah dibuat adalah keputusan rasmi dan kekal,â katanya.
Sementara itu, Kevin turut memberitahu tiada pasukan yang akan menggantikan Perlis dan Liga Premier akan diteruskan dengan 11 pasukan.
âJika ada mana-mana pasukan dikeluarkan, berdasarkan keputusan yang telah dibuat pada musim lepas kita tidak akan menggantikan mana-mana pasukan. Jika kita terburu-buru untuk menggantikan pasukan, kita tidak mahu berdepan masalah yang sama dengan pasukan yang kita masukkan itu.
âJadi sama seperti tahun lalu, kita akan berjalan dengan 11 pasukan dan tiada pasukan ganti. Status tiga perlawanan membabitkan Perlis sebelum ini akan terjawab selepas tamat tempoh permohonan rayuan ini dan untuk aksi Perlis menentang Kelantan esok statusnya ditunda bukannya dibatalkan,â katanya. MUHD AIMANÂ